MALAYSIA sentiasa mengamalkan sikap mesra dan terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal itu sejajar dengan dunia ketika ini yang sedang bergerak ke arah multipolar.
Jelas beliau, multipolar itu walaupun membawa ancaman namun membuka peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak.
“Semua negara harus dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan yang lebih makmur, mampan dan saksama.
“Dari perspektif Malaysia, tiada negara yang boleh hidup secara terasing dan kita sentiasa mengamalkan sikap mesra serta terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Ekonomi Timur Ketujuh: The Path To Multipolar World hari ini.
Baca lagi: Ismail Sabri terima kunjungan hormat TPM Singapura di Putrajaya
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia berpendirian bahawa setiap negara bangsa perlu berani mengorak langkah ke arah mewujudkan dunia multipolar yang aman damai, menghormati diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejahtera sejagat.
Ujar beliau, terdapat beberapa negara membangun muncul sebagai kuasa ekonomi baharu jika dlihat dari sudut ekonomi dalam dunia multipolar.
Ismail Sabri berkata, di peringkat serantau, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip Kepaksian ASEAN serta prinsip-prinsip asas seperti saling bekerjasama, menghormati kedaulatan negara serta semangat membantu negara-negara anggota mencapai keamanan dan kemakmuran serantau.
Jelas beliau, sebagai satu daripada negara pengasas perkumpulan ASEAN, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam pembinaan komuniti ASEAN dan integrasi serantau.
“Sehubungan itu, adalah menjadi harapan Malaysia agar semua rakan dialog ASEAN, memberi perhatian dan menghormati prinsip ini.
“Sebagai sebuah negara yang membangun, Malaysia mengalu-alukan platform yang telah disediakan oleh negara-negara anggota BRICS (iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).
“BRICS telah menyediakan ruang dan peluang kepada negara-negara membangun untuk menyuara dan mengetengahkan pendirian serta pandangan mengenai situasi atau perkembangan mutakhir berhubung agenda pembangunan sejagat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

