RAJA Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 84, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, Perak selepas mengadu sesak nafas tengah malam, semalam.
Menurut anak penyanyi itu, Ahmad Zaini, 51, bapanya dibawa ke hospital pada 12 tengah malam tadi sebelum doktor mengesahkannya dalam keadaan kritikal dan mempunyai masalah paru-paru berair.
Jelas Ahmad Zaini, bapanya itu kini dalam pemantauan doktor dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Doktor mengesahkan pada keluarga bahawa ayah kritikal pada pukul 2 pagi.
“Kami sekeluarga membenarkan doktor untuk membuat CPR (Bantuan Pernafasan Kecemasan) dan memasukkan tiub bagi membantu pernafasannya apabila jantungnya terhenti.
“Ayah masih memerlukan bantuan pernafasan dan keadaanya kini dalam separuh sedar tapi masih kritikal,” katanya memetik laporan Harian Metro.
M Daud Kilau sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital sama selepas mengalami sesak nafas.
Malah, sekitar dua tahun lalu, penyanyi yang popular menerusi lagu Cek Mek Molek itu pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

