Semua orang tahu tabiat buruk meninggalkan kesan sampingan pada kesihatan dan penampilan anda. Namun amalan-amalan yang memudaratkan kesihatan ini sukar dihenti atau ditinggalkan kerana ia sudah menjadi sebati dengan jiwa sesetengah orang.
Apa pun, satu kajian telah mengenal pasti empat amalan atau tabiat buruk yang bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan anda malah ia juga membuatkan anda kelihatan 12 tahun lebih tua dari usia sebenar. Tabiat-tabiat berkenaan ialah merokok, ketagih minum arak, gaya hidup tidak aktif dan amalan pemakanan yang tidak sihat.
Mungkin anda telah pun mengetahui mengenai kesan keempat-empat tabiat di atas terhadap kesihatan namun, ternyata ia amat sukar dipulih tanpa semangat yang kuat.
Laporan kajian oleh sekumpulan ahli penyelidik terhadapnya hampir lima ribu warga British dewasa selama 20 tahun. Dan kesimpulannya adalah satu lagi sebab peri pentingnya amalan gaya hidup yang lebih sihat.
Secara amnya, seramai 314 orang yang dikaji mempunyai kesemua empat tabiat buruk iaitu merokok, ketagih arak, tidak aktif dan amalan pemakanan buruk. Di kalangan mereka, 91 atau 29 peratus orang mati semasa proses penyelidikan.
Sementara itu, di kalangan 387 orang yang paling sihat tanpa empat amalan buruk di atas, hanya 32 orang atau lapan peratus telah mati semasa kajian berlangsung.
Para penyelidik telah mengenal pasti perangai-perangai bermasalah iaitu merokok tembakau; meneguk lebih tiga minuman alkohol sehari bagi lelaki dan dua minuman arak bagi wanita. Risiko penuaan 12 tahun juga terjadi kepada orang-orang yang tidak melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya dua jam seminggu serta mereka yang makan buah-buahan dan sayuran kurang daripada tiga kali sehari.
Gabungan tabiat-tabiat di atas akan meningkatkan kemungkinan risiko kematian dan membuatkan orang-orang yang mengamalkan tabiat-tabiat buruk berkenaan kelihatan 12 tahun lebih tua dari usia mereka sebenar. Ini ketara apabila dibandingkan dengan kumpulan yang lebih sihat, kata ketua penyelidik Elisabeth Kvaavik dari Universiti Oslo. Kajian ini boleh didapati di Archives of Internal Medicine.
Elisabeth menjelaskan bahawa anda tidak perlu menjadi begitu ekstrim dalam amalan gaya hidup sihat. Tabiat-tabiat elok di atas apabila digabung menjadi amalan agak baik untuk kebanyakan orang dan ia mudah untuk dilakukan. Misalnya, sebatang karot, sebiji epal dan segelas jus oren sudah memadai bagi pemakanan sihat.
Kerajaan Amerika Syarikat amnya mencadangkan sekurang-kurangnya makan empat cawan buah atau sayuran setiap hari untuk orang dewasa, bergantung pada umur dan tahap kecergasan, serta anggaran dua setengah jam senaman seminggu.
Kajian para peserta merangkumi 4,886 orang dewasa British berusia 18 tahun ke atas atau anggaran 44 tahun. Para peserta telah diminta mencatatkan pelbagai tabiat atau amalan gaya hidup sekali sahaja tetapi Elisabeth berpendapat tabiat-tabiat tersebut dianggap stabil di kalangan orang dewasa.
Namun, ini tidak bermakna semua orang yang mengamalkan gaya hidup sihat akan hidup lebih lama berbanding mereka yang bertabiat buruk tetapi ia mampu mengurangkan risiko penyakit.

