Istana Kehakiman GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

PANEL tiga hakim Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Nov ini untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk mengembalikan status agama Islam seorang wanita berusia 35 tahun.

MAIS dan kerajaan Selangor mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Dis tahun lepas yang membatalkan penukaran agama wanita itu kepada Islam oleh ibunya, seorang mualaf, ketika dia berusia empat tahun.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam, yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Nohd Ghazali, berkata mereka memerlukan lebih masa untuk membincangkan isu yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili pihak-pihak dalam rayuan itu.

“Ia adalah kes kepentingan awam yang memerlukan kami meneliti penghujahan dan kes undang-undang. Kami menangguhkan keputusan kami ke 28 Nov,” kata Yaacob, yang mempengerusikan panel itu.

Wanita kelahiran Selangor itu, berbapakan penganut agama Hindu manakala ibu beragama Buddha yang kemudiannya memeluk Islam, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Mei tahun lepas, memohon pengisytiharan bahawa dia bukan seorang beragama Islam dan mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan perkataan “Islam” daripada kad pengenalannya.

Wanita itu mendakwa ibunya menukar agamanya pada 1991 di Jabatan Agama Islam Selangor. Pada masa itu ibu bapanya dalam proses perceraian dan selepas bercerai, ibunya berkahwin dengan lelaki Islam pada 1993 manakala bapa kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan pada 1996.

Baca artikel berkaitan: Permohonan MAIS dapatkan kebenaran kembalikan status agama lima beradik ditolak

Dia mendakwa walaupun beragama Islam, dia terus menganut agama Hindu dan ibu serta bapa tirinya membenarkan dia mengamalkan agama Hindu – agama yang dianuti sejak dilahirkan.

Pada 2013, wanita itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk diisytiharkan keluar Islam tetapi permohonannya itu ditolak pada 2017, dan dia diperintahkan supaya menghadiri sesi kaunseling. Mahkamah Rayuan Syariah turut mengekalkan keputusan itu.

Wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam (sivil) pada 2021 dan berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

Dalam prosiding secara dalam talian hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIS berhujah bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf semasa membenarkan permohonan wanita itu, dengan alasan keputusan Mahkamah Tinggi adalah melanggar Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121 (1A) memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan perkaran berkaitan agama Islam.

Mohamed Haniff berkata wanita itu sebelum ini memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk keluar daripada agama Islam, sambil menambah bahawa saman sivilnya adalah percubaan untuk membuat litigasi semula apa yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim [email protected] mewakili kerajaan negeri Selangor menerima pakai hujah Mohamed Haniff Khatri.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili wanita itu, dalam hujah balasnya berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tuntutan anak guamnya kerana dia tidak pernah menganut agama Islam.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi betul apabila memutuskan bahawa anak guamnya tidak memeluk Islam secara sah dan penukarannya bertentangan dengan undang-undang penukaran agama Negeri pada masa itu yang menghalang penukaran agama secara unilateral.

Beliau berkata bapa kepada wanita itu masih hidup semasa ibunya menukarkan agamanya tanpa meminta persetujuan bapa.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram