KERAJAAN Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) tidak teragak-agak menggantung seterusnya menarik balik tauliah sekiranya terbukti pemegang tauliah terbabit dengan politik kepartian.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan, tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik merupakan antara syarat kelayakan bagi pemegang tauliah di negeri tersebut.
Selain itu, kata beliau, Peraturan 14(1); Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 turut menetapkan bahawa pemegang tauliah sebagai beragama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah; bermastautin di Selangor dan bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Negeri.
Menurut Mohammad Fahmi, kerajaan negeri masih menerima aduan mengenai pemegang tauliah MAIS yang menyalahgunakan tauliah mengajar agama di masjid-masjid di Selangor.
Beliau berkata, antara aduan berkenaan termasuk masih memegang jawatan dalam parti-parti politik; tidak berakhlak mulia; mendatangkan perasaan benci atau penghinaan atau perasaan tidak suka kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri.
Pada masa sama, Mohammad Fahmi memaklumkan, kerajaan negeri turut menerima aduan melibatkan pemegang tauliah membangkitkan isu-isu yang boleh mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk Malaysia.
Baca artikel lain: Letupan Putra Heights: Tubuh RCI siasat dengan lebih menyeluruh – Pas Selangor
“Peraturan yang ditetapkan ini penting untuk memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik dan perpecahan seperti mana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor 2023.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak untuk menggantung tauliah jika ada aduan berasas yang diterima seterusnya menarik balik tauliah daripada pemegang tauliah sekiranya aduan berikut terbukti benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi turut menyarankan orang ramai supaya membantu membanteras pendakwah yang melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan penggantungan atau penarikan balik tauliah mengajar agama.
Katanya, perkara itu dinyatakan dalam Peraturan 22 Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau melanggar syarat kelayakan tauliah dengan membuat semakan pendakwah bertauliah di https://etauliah.mais.gov.my.
Beliau berkata, aduan juga boleh dibuat terus di hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 1800-882424.
“Saya tegaskan semula kepada pendakwah agama yang berhasrat untuk menyampaikan ilmu dan berdakwah di masjid serta surau atau mana-mana tempat lain dalam negeri Selangor agar terus komited untuk berakhlak mulia serta menjauhkan diri daripada politik kepartian.
“Mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen ini disarankan agar tidak memohon tauliah di negeri ini.
“Tauliah MAIS adalah suatu tanggungjawab, bukan suatu kelebihan yang boleh diguna pakai sesuka hati,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

