PENGANJURAN program Campbell Merdeka Fest 2022 sempena Sambutan Hari Malaysia mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 300 tetamu yang melibatkan wakil dari agensi kerajaan dan para penyair.
Program Sepetang Santai Seni Kuala Lumpur dan Program Parlimen Bukit Bintang yang diadakan julung kalinya di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur itu disifatkan sebagai ruang bagi masyarakat tempatan terus memartabatkan khazanah kesusasteraan Melayu.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Hartanah dan Perkhidmatan Kumpulan Shapadu, Zarimah Mohamed berkata, perjuangan dalam menegakkan kesusateraan Melayu dapat diteruskan menerusi program sebegini.
Jelasnya, lokasi Kompleks Campbell dipilih bagi penganjuran program yang akan dijadikan sebagai pusat pemerkasaan seni dan budaya Melayu.

“Kita sepatutnya tidak membiarkan khazanah budaya termasuk puisi, sajak dan syair lenyap ditelan zaman.
“Oleh itu, pihak pengurusan Kompleks Campbell mengambil inisiatif dengan menganjurkan program ini bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa menghayati karya sastera Melayu,” katanya.

Baca artikel berkaitan : Campbell Merdeka Fest sedia pelbagai aktiviti menarik sempena Sambutan Hari Malaysia
Beliau mengakhiri ucapan dengan mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Setelah Ku Beri Kebebasan’ oleh Datin Barupawati Utamaju Baharum.
Program tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari, selaku Presiden Persatuan Penyair Malaysia dan dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Bukit Bintang, Azri Zainal Abidin.

Program ini dimeriahkan dengan acara deklamasi puisi, fragmen teater monolog, nyanyian lagu puisi dan kuiz kenegaraan.
Turut hadir para penyair yang memeriahkan majlis ialah Penasihat Persatuan Penyair Malaysia Datin Barupawati Utamaju Baharum, Pegawai Waran 1 Tentera Laut Diraja Malaysia, Azamin Itam, Setiausaha Kerja Gabungan Penulis Nasional Noraziman Abu Bakar, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2022 Peringkat Kuala Lumpur Norhisyam Razali.
Antara aktiviti yang diadakan dalam Campbell Merdeka Fest ini ialah pencarian model Superstar Campbell Retro, Sepetang Santai Seni dan Campbell Glitters Hari Merdeka. – UtusanTV



Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

