KES saman fitnah yang difailkan oleh pelakon Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul berhubung penyebaran gambar dan video yang didakwa berunsur fitnah yang dimuat naik oleh defendan di laman media sosial Instagram akan ditentukan melalui perbicaraan di Mahkamah Sesyen Seremban bermula esok.

Perbicaraan akan berlangsung selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata persetujuan agar kes tersebut diselesaikan secara mediasi.

“Perbicaraan akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 September bermula pukul 2.30 petang pada hari Selasa, dan pukul 8.30 pagi pada hari Rabu dengan Fara Mendoza akan menjadi saksi pertama,

“Anak guam, Zarina cuba menyelesaikan krisis undang-undang ini secara mediasi namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat,” ” kata Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, selaku peguam utama Zarina.

Zarina, sebelum ini, pada 2020, berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.

Ini berikutan dakwaan yang dia tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangkakan yang peguam terdahulu yang dilantik telah membela nasibnya.

Difahamkan yang peguam terdahulu pelakon itu telah diserang strok dan firma guamannya telah pun ditutup.

Setelah mendapat pengesahan daripada mahkamah yang terdapat saman dan penghakiman bagi kesnya, Zarina telah melantik peguam Nurul Hafidzah untuk mewakili dirinya.

Melalui pasukan peguam yang baru, Zarina membuat tuntutan balas ke atas saman sivil Fara Mendoza.

Zarina menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan-kenyataan fitnah pada masa hadapan.

Selain itu, Zarina menuntut agar Fara Mendoza menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah yang telah dibuat dan membuat permohonan maaf.

Dia juga menuntut kos tindakan dan lain-lain relif yang dianggap sesuai dan bermanfaat oleh mahkamah.

Peguambela Nurul Hafidzah berkata yang anak guam Zarina menafikan dakwaan plaintif dan percaya sebenarnya plaintif yang telah memfitnah dirinya.

“Kesemua fakta akan dibuktikan semasa hari perbicaraan,” ujar Nurul Hafidzah.

Zarina sebelum ini menyaman pelakon Amyza Aznan dan Emelda Rose setelah mendakwa dia difitnah di aplikasi media sosial Telegram.