TIKET konsert REUNIC Live in Concert The Finale See You di IPT The Musical yang habis dijual dalam masa seminggu sebaik sahaja penjualan tiket dibuka kepada orang ramai pada Ogos lalu sekaligus membuktikan bahawa kumpulan UNIC masih lagi diminati ramai terutamanya para peminat nasyid.
Konsert ini juga mendapat sokongan dana melalui Geran DKD (Dana Kandungan Digital) yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan di perkasakan melalui penajaan utama Kumpulan Megaklinik Zahran.
Walaupun konsert REUNIC yang pertama pada 2017 di dewan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, konsert kali ini lebih istimewa kerana menyatukan seluruh anggota UNIC dari 2002 hingga kini di atas satu pentas seramai sembilan orang.
Dengan kemunculan ahli REUNIC yang lengkap, wajarlah jika konsert yang akan bersiaran langsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober, jam 8.00 malam nanti dinamakan ‘The Finale’.
Menurut Dr. Fitri Haris selaku pengarah konsert ini, bersama Fakhrul dan Bazli UNIC, konsert-konsert nasyid memang sinonim dengan IPT.
“Pemilihan tempat di Bukit Bintang pula membuktikan bahawa nasyid juga mampu bersaing setaraf muzik arus perdana yang pernah diadakan di situ seperti kumpulan Search, Bunkface dan artis-artis antarabangsa yang lain lantas menaikkan martabat nasyid di mata dunia,” katanya.
Tambahan pula, Dr. Fitri Haris yang juga ahli FDAM dan berpengalaman mengarah beberapa projek sebelum ini ingin menyuntik satu kelainan dengan memperkenalkan konsert nasyid berkonsep muzikal dengan tema See You di IPT The Musical.
“Tema yang merupakan adaptasi telemovie See You di IPT oleh UNIC pada 2004 tidak asing bagi para peminat yang mengikuti perkembangan kami sejak dari dulu lagi.
“Malah dengan membawa telemovie ini ke atas pentas konsert nanti, kemunculan khas selebriti terkenal Bell Ngasri yang memainkan watak pelajar nakal dan Bienda pasti menggamit nostalgia,” ujarnya.
Selain itu, artis-artis jemputan seperti Zizi Kirana, Mawi dan Anas juga turut menyerikan konsert pada malam itu.
Bertahan selama 20 tahun dalam persada seni, sebanyak 20 lagu akan disajikan kepada para penonton. Persembahan yang dibahagikan kepada empat segmen iaitu permulaan, muzikal, srikandi dan persahabatan diserikan dengan lagu-lagu hits UNIC seperti Ainul Mardhiah, Ke Makam Bonda, Jalinan, termasuk lagu khas Sebuah Pertemuan 2.0 oleh REUNIC.
Bagi memenuhi permintaan para peminat yang tidak dapat menghadiri konsert secara LIVE, bolehlah dapatkan tiket konsert yang terhad melalui penstriman dalam talian (online streaming).
Penjualan tiket telah dibuka untuk mendekati lebih ramai peminat UNIC bukan sahaja dari Malaysia, Singapura dan Indonesia tetapi di serata dunia.
Para penonton boleh membeli tiket sambil menderma. Sebahagian daripada pembelian tiket akan disalurkan ke tabung kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia.
Tiket konsert bagi tontonan dalam talian boleh dibeli melalui laman web http://t2u.asia/e/2844 dan ditayangkan sehari selepas Konsert LIVE REUNIC The Finale iaitu pada 9 Oktober, jam 9.00 malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

