Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (tengah) bersama pegawainya menunjukan sebahagian dadah bernilai RM20.56 juta yang dirampas selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ampang Jaya dan Petaling Jaya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas dadah bernilai RM20.56 juta dalam serbuan yang dilakukan di Ampang Jaya dan Petaling jaya pada 13 serta 15 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, operasi itu dijayakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasam dan kolaborasi JSJN Bukit Aman, Johor serta Negeri Sembilan.

Jelas beliau, kejayaan tersebut sekaligus menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air dengan penangkapan lima lelaki tempatan di sekitar Ampang Jaya, Serdang dan Petaling Jaya.

“Jam lebih kurang 6.45 petang, JSJN Selangor dengan kerjasama JSJN Bukit Aman telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan berumur 32 dan 35 tahun di kawasan tempat letak kereta berdekatan sebuah pasaraya di Ampang.

“Anggota operasi telah merampas empat ketulan mampat bahan disyaki dadah jenis heroin base dengan anggaran berat 1.54 kilogram (kg),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca lagi: Dua penagih jadi tokan dadah ditahan polis

Tambah beliau, serbuan di sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong juga telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini.

Arjunaidi berkata, anggota operasi pada jam 9.15 malam telah dipandu arah oleh dua suspek telah pergi ke sebuah rumah di kawasan Sri Damansara, Petaling Jaya.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta Mercedes telah menjumpai 112 ketulan mampat disyaki heroin bas dengan anggaran berat 43.48kg dan 89,500 biji pil erimin 5 dengan anggaran berat 27.2kg.

Sementara itu, bagi kes kedua, Arjunaidi berkata, pada 15 September, anggota operasi berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia 23 dan 27 tahun dalam serbuan di rumah Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Sebahagian dadah bernilai RM20.56 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ampang Jaya dan Petaling Jaya ketika Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Arjunaidi, rumah itu dipercayai dijadikan makmal memproses dadah haram dan anggota menjumpa bahan disyaki dadah.

“Anggota operasi menjumpai 355 bungkusan dadah disyaki heroin base dengan anggaran berat 134.19kg dan 54 bungkusan disyaki dadah jenis methampetamine dengan anggaran berat 59.04 kg.

“Selain itu, turut dijumpai adalah 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja anggaran berat 20 kg, 15,830 pil erimin 5 anggaran berat 4.56 kg, tujuh bungkusan mengandungi dadah disyaki pil ectasy anggaran berat 3.19 kg dan enam bungkusan disyaki cafein anggaran berat 6.12 kg.

“Selain itu, bahan-bahan serta peralatan memproses dadah turut ditemukan seperti empat botol plastik accetone, sebotol plastik ethanol dan lapan balang kaca mengandungi cecair disyaki dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Katanya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana polis telah menyita aset-aset sindiket bernilai RM152,001.

“Antara yang dirampas adalah sebuah Nissan Impul dan sebuah Audi, lima buah motosikal berjenam Ducati, Honda Adv, Yamaha RXZ, Yamaha Y15ZR dan SYM.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952. Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.