Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan bagi 40 pertuduhan kes rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA telah diaibkan, dimalukan, malah telah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan dan telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘mahkamah awam’.”

Demikian kata Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Sambil mengucapkan kesyukuran atas keputusan tersebut, Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan perundangan telah diteliti dan diperincikan sejak hari pertama beliau dituduh di mahkamah.

Malah, beliau berkata, keputusan yang dibuat hari ini juga merupakan kejayaan terhadap perjuangan Barisan Nasional dan UMNO.

“Biarpun saya harus reda dengan ujian, namun saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan itu tidak pernah saya lakukan.

“Saya amat yakin, selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO, ini adalah kejayaan perjuangan BN dan UMNO.

“Alhamdulillah, di hari Jumaat penghulu segala hari menyaksikan segala-galanya bahawa perundangan telah ditegakkan demi kebenaran. Saya sekali lagi bersyukur,” katanya dalam sidang media selepas keputusan diumumkan.

Baca artikel berkaitan: Ahmad Zahid bebas 40 tuduhan terima rasuah kes Sistem VLN

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik yang menjalankan tanggungjawab dengan profesional dan cemerlang.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga termasuk isteri, anak-anak dan adik-beradik yang tidak putus-putus mendoakan.

“Saya tak akan pernah lupa terhadap kawan-kawan yang tidak jemu bersama saya di mahkamah, sejauh Sabah dan Terengganu yang memberikan sokongan.

“Terima kasih juga kepada seluruh kepimpinan UMNO yang mendukung supaya keadilan ditegakkan termasuk Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan); Ketua Pemuda (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) dan jangan dilupa, jaguh pantun kita, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sebelum ini pernah dimangsakan.

“Terima kasih juga kepada wartawan yang telah memberikan laporan sangat seimbang dan profesional,” jelas beliau.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem VLN.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan.

Ahmad Zahid, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram