Penerbangan Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh sewaktu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

SEBARANG tindakan susulan Malaysia berhubung kes penembakan jatuh pesawat MH17 hanya akan dibuat selepas mahkamah di Belanda membuat keputusan mengenainya pada 17 Nov depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte di New York pada Jumaat, beliau menyuarakan pendirian negara yang mahu bersikap adil kepada semua pihak yang dikaitkan dengan insiden itu.

“Kes ini telahpun berada di peringkat mahkamah dan keputusan November ini, kita akan sama-sama tunggu keputusan. Apa-apa tindakan akan kita buat selepas keputusan mahkamah. Sebab MH17 ini libatkan ramai rakyat Belanda dan Malaysia,” katanya pada sidang media di New York, pada Sabtu.

Kedua-dua pemimpin itu yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77, bertemu di ibu pejabat PBB.

Mahkamah Daerah The Hague akan memutuskan perbicaraan kes MH17 pada 17 Nov depan. Ia melibatkan empat individu yang menghadapi 298 pertuduhan membunuh kerana didakwa menembak jatuh pesawat yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Baca artikel berkaitan: Episod 1 Penerbangan Terakhir MH370 & MH17 – Ulasan Datuk Seri Azharuddin

Perdana Menteri mengakui terdapat tekanan terhadap Malaysia untuk menyertai beberapa negara mengambil tindakan terhadap Rusia yang dituduh terlibat dengan kejadian penembakan jatuh pesawat milik Malaysia Airlines itu, namun ia tetap dengan pendirian untuk menunggu keputusan mahkamah.

Ismail Sabri juga berkata kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jalinan hubungan dua hala, termasuk perdagangan dan bantuan teknikal untuk menangani isu banjir di Malaysia.

“Kita mendapat nasihat daripada pakar-pakar Belanda yang datang ke Malaysia tahun ini untuk membantu kita susulan banjir besar tahun lepas. Belanda walaupun kebanyakan tanahnya berada di bawah paras laut, namun mereka mampu kawal banjir,” katanya.

Dari segi perdagangan, Belanda merupakan pembeli minyak kelapa sawit terbesar di Eropah manakala Malaysia banyak mengimport produk-produk pertanian daripada negara itu, katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram