AHMAD MASLAN

PERCANGGAHAN kenyataan antara kepemimpinan utama dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) seolah-olah menunjukkan gabungan itu ibarat retak menanti belah.

Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti dipetik Astro Awani.

Ia ekoran kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan bahawa Barisan Nasional (BN) merupakan musuh gabungan itu tetapi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula menyatakan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh dan bukannya BN.

Ahmad menyifatkan PN mungkin tidak lagi sehaluan selepas kedua-dua pemimpin itu menyatakan perbezaan pendapat.

Bagaimanapun, Ahmad turut menegaskan UMNO dan BN tidak langsung berasa gentar dengan ‘cabaran’ yang dilaungkan Muhyiddin itu.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata, BN sedia berdepan dengan mana-mana parti selagi belum ada kerjasama dibentuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kelihatan mungkin ada retak menanti belah. Mungkin ada apabila kepimpinan utama dua parti dalam PN tidak sehaluan.

“Kita tunggu dan lihat apa perkembangan selanjutnya dan kita membuat penelitian yang teliti terhadap perkembangan politik sehari dua,” katanya.

Baca artikel berkaitan: ‘BN musuh PN’ letakkan Pas dalam dilema – Khairuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah di Benut, Pontian, hari ini.

Ahmad turut menjelaskan tindakan meletakkan BN sebagai musuh PN bagaimanapun sudah diduga memandangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini merupakan komponen PH pada PRU-14.

Semalam, Muhyiddin ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun Keenam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan bahawa BN adalah musuh utama PN yang perlu dilawan pada PRU-15.

Justeru, beliau yang juga Presiden Bersatu menyatakan bahawa parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Sebelum ini, Pas menjelaskan musuh parti itu dalam PRU-15 adalah PH, bukannya UMNO.

Takiyuddin menegaskan, Pas terus mempelawa supaya kerjasama dengan UMNO diteruskan dalam menghadapi PRU-15 bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika berjaya menang pilihan raya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram