UNDIAN Atas Talian TOP-5 Anugerah Telenovela Ke-8 (ATN-8) telah dibuka pada hari Selasa, 20 September tepat pukul 1 tengah hari selepas proses penutupan undian dari fasa sebelum ini pada 18 September melalui laman web rasmi ATN-8.

ATN-8 adalah anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D’Ayu Pictures Sdn Bhd yang bakal menobatkan pemenang daripada Kategori buku dan penerbitan drama serta telefilem.

Sebuah anugerah yang bagi menghargai pengkarya yang sudi mengadaptasikan sebuah penerbitan drama, telefilem mahupun filem daripada mana-mana buku yang telah diterbitkan oleh penerbit buku tanah air.

“Anugerah ini terbahagi kepada dua konsep penilaian iaitu pemilihan calon oleh juri profesional dan pemilihan calon oleh peminat melalui undian atas talian.

“Undian online sangat mendapat sambutan sehingga mencecah 4.8 juta penyertaan peminat. Sambutan luar biasa kali ini adalah disebabkan kesetiaan peminat terhadap artis pujaan masing-masing.

“Pernah juga sistem pengundian ini cuba diceroboh namun kami memiliki sistem kawalan keselamatan yang sangat kebal,” kata Datuk Rosmarayu Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah ATN-8.

Menurutnya lagi, sistem pengundian pada kali ini sangat mencabar kerana ia menggabungkan tiga tahun pencalonan iaitu karya terbitan 2019, 2020 dan 2021.

Begitu juga dengan penjurian oleh juri profesional yang mana ke semua juri melihat dari pelbagai sudut sehingga berlaku perdebatan bagi menilai pandangan para juri demi memilih calon terbaik sebagai pemenang.

Untuk makluman, Pengundian Atas Talian (Online) bagi Fasa 1 ATN-8 telah mula dilancarkan pada bulan Mac lalu bagi memberi peluang kepada para peminat tegar untuk mengundi karya-karya adaptasi “Book2Screen”, iaitu novel ke drama, telefilem dan filem yang mereka rasakan layak untuk bergelar pemenang.

Pada tahun ini, terdapat 106 calon telenovela telah berentap bagi merebut lebih 40 anugerah dalam dua Kategori, iaitu Kategori Popular (100% Undian Online) dan Kategori Terbaik (100% Penjurian oleh Juri Profesional).

Ke semua adaptasi yang tercalon mestilah ditayangkan di televisyen atau stesen satelit atau stesen umum (Free To Air. FTA) atau pawagam.

Buat masa ini, pencalonan bagi tayangan melalui laman sosial tidak akan diterima.

Senarai penuh pencalonan ATN-8 boleh dilawati di laman web rasmi Anugerah Telenovela: http://www.anugerahtelenovela.com

KATEGORI POPULAR (100 % UNDIAN ONLINE)

Novel Popular
Telenovela Popular
Pelakon Lelaki Telenovela Popular
Pelakon Wanita Telenovela Popular
Pasangan Serasi Popular

FasaTarikh DilancarkanTarikh Tamat
Pertama (Pencalonan Penuh 106 Drama) bagi tayangan 2019, 2020 dan 202126 Mac 20224 Jun 2022
Kedua (Top-10) bagi tayangan 2019, 2020 dan 20216 Jun 202218 September 2022
Ketiga (Top–5) bagi tayangan 2019, 2020 dan 202120 September 2022Malam Gala Anugerah Telenovela Ke-8 29 Oktober 2022

Undian atas talian bagi Fasa Ketiga (Top-5) adalah pencarian yang paling popular mengikut kategori yang akan dilancarkan bermula pada pukul 1 tengah hari, 20 September 2022.

Lima calon terbaik setiap kategori untuk setiap tahun pencalonan bakal dipilih sepenuhnya melalui undian para peminat.

Pemenang kategori popular bagi 2019 dan 2020 akan diumum dengan memaparkan rakaman penyampaian trofi dan calon kategori popular 2021 akan diumumkan pada Malam Gala ATN-8.

Menurut Dr Roslan Basarudin, Pengurus Projek Anugerah Telenovela ke-8, pihak penganjur masih lagi mencari penajaan dari mana-mana pihak kerana sedia maklum kos penajaan bagi sebuah rancangan seperti ini mencecah jutaan ringgit.

Bagi mengangkat ATN-8 ini setaraf dengan anugerah hiburan yang lain ia sangat berbeza kerana penganjur utamanya adalah YPBN.

“Jika sesiapa ada mengikuti kami pada tahun sebelum ini ia tidaklah sebesar penganjuran anugerah hiburan yang lain dan ini berlaku kerana kekangan bajet penganjuran yang terhad atau bahasa senangnya adalah bagi jadi dengan jayanya.

“Saya bersama Datuk Rosmarayu sentiasa komited dalam mendukung hasrat Kerajaan Malaysia untuk merancakkan lagi industri penerbitan dan seni kreatif negara dengan penghasilan karya-karya yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

“Seterusnya, ia sememangnya akan memberikan impak besar terhadap pembangunan tamadun, sosial serta ekonomi negara menurut acuan Keluarga Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia,” jelasnya.