SERAMAI 11 penumpang cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas ke bahu jalan sebelum masuk ke dalam parit di Kilometer 60, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Alor Setar, petang tadi.
Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 3.25 petang.
Beliau berkata, sepasukan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Jalan Raja dan Pendang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba di lokasi dan memulakan operasi dengan memberikan rawatan awal kepada mangsa dan mengawal keadaan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, bas persiaran yang dinaiki 29 orang termasuk pemandu itu dikatakan dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menghala ke Kampar, Perak.
Jelasnya, 11 mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital bagi menerima rawatan manakala 18 mangsa lagi tidak cedera dan dihantar ke hentian rehat dan rawat (R&R) Gurun.

