PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara untuk menghadiri Sidang Parlimen telah ditolak Jabatan Penjara, beberapa hari lalu.
Perkara berkenaan disahkan Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang media, hari ini.
Menurut Muhammad Shafee, pihaknya telah pun menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara bagi memohon kebenaran supaya Ahli Parlimen Pekan itu menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan anak guamnya itu telah pun ditolak atas dasar keselamatan.
Malah, Muhammad Shafee juga telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengatakan tiada halangan untuk Najib menghadiri Sidang Parlimen jika dibenarkan Jabatan Penjara.
“Alasan keselamatan itu agak pelik kerana Parlimen lebih selamat daripada mahkamah kerana beliau terdedah kepada orang awam.
“Jika tiada isu keselamatan di sini (mahkamah) mahu pun di hospital, bagaimana ada isu keselamatan di Parlimen sedangkan tahap keselamatan di sana agak tinggi,” katanya dalam sidang media tersebut.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee memaklumkan telah membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Jumaat lalu berhubung perkara tersebut.
Baca artikel berkaitan: Najib boleh hadir Sidang Parlimen jika dapat kebenaran – Azhar
Beliau menegaskan, sekiranya rayuan tersebut tidak dijawab atau ditolak sehingga 12 tengah hari esok, maka pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi.
“Pada situasi biasa, kami tentunya akan memberikan lebih masa kepada pihak menteri tetapi ketika ini Parlimen sudah pun bersidang.
“Jadi, jika menjelang 12 tengah hari esok, rayuan itu tidak dijawab atau ditolak, kami akan failkan ke ke Mahkamah Tinggi untuk memperbetulkan keputusan yang kami rasakan salah ini,” katanya.
Terdahulu, Azhar berkata, Najib boleh menghadiri Sidang Parlimen sekiranya memperoleh kebenaran daripada Jabatan Penjara.
Beliau menjelaskan, ini kerana Ahli Parlimen Pekan itu berada di bawah ‘penjagaan’ Jabatan Penjara.
Justeru, kata beliau, Najib tidak perlu meminta kebenarannya untuk hadir ke Dewan Rakyat kerana beliau tidak langsung mempunyai kuasa atas perkara berkenaan.
“Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.
“Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mencadangkan Najib dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen tetapi dengan tangan bergari.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

