SEORANG lelaki warga Nepal cedera ringan selepas dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Selatan 7, Taman Kempas Indah, Skudai 7.35 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa berusia 22 tahun telah dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira ketika melintas jalan.
Beliau berkata, mangsa melintas jalan secara tiba-tiba semasa isyarat lampu hijau menyebabkan pemandu berusia 42 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Skudai ke Kempas Indah tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera ringan di tangan kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Peraturan 41 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Sehubungan itu, polis menasihatkan pejalan kaki untuk berhati-hati ketika menggunakan lintasan pejalan kaki dan memakai pakaian yang cerah pada waktu malam agar muda dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

