Seni silat Yusof Wahab dibawa ke China bagi pertandingan seni mempertahankan diri

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn. Bhd. mungkin baru bagi kita di Malaysia tetapi nama syarikat ini cukup terkenal di China kerana banyak program penerbitannya ditayangkan di CCTV (China Channel TV) sejak sekian lama.

Bersandarkan populariti dan kemampuan NQCC, Pengerusi dan Penerbit, Dr. Mazlan Goh
Ahmad Goh, pada Mac lalu telah diundang untuk menyertai Pertandingan Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts Competition) yang akan berlangsung di Linyi, Shandong, China, tahun hadapan.

Menyedari keindahan seni silat Melayu, beliau mengambil keputusan untuk membawanya ke pentas luar dari Malaysia.

Demi merealisasikan impiannya, Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh telah menghubungi aktor,
Yusof Wahab pada Mac lalu untuk mengajar remaja bersilat.

Bagaimanapun setelah mendapat penjelasan daripada Yusof iaitu untuk menjadi
seorang pesilat yang mahir ia memerlukan masa antara lima ke enam tahun dan adalah sesuatu yang mustahil dalam tempuh tiga bulan boleh melahirkan seorang pesilat yang terbaik.

Menerima pandangan berkenaan, Mazlan memilih Yusof bagi mewakili peserta dari Malaysia (NQCC).

Bagi tujuan itu, syarat yang harus dipenuhi NQCC dikehendaki menghantar rakaman video Seni Mempertahankan Diri / Silat berdurasi antara 10 hingga 15 minit.

Dr Mazlan dan Yusof Wahab mahu seni silat dikenali hingga ke seluruh dunia

Rakaman video berkenaan perlu di hantar ke pihak penganjur di Linyi, Shandong, China.

Demi memenuhi syarat berkenaan, penggambaran Seni Mempertahankan Diri/Silat telah dilakukan di Istana Lama Sri Menanti, Sri Menanti, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Bagi memenuhi syarat berkenaan Yusof bukan sahaja bertindak sebagai peserta malah pihak kami melantik beliau sebagai pengarah.

“Kami memilih Yusof bukan sahaja bersandarkan pengalamannya sebagai pengarah
drama selama 22 tahun malah sebagai pesilat yang berpengalaman lebih 50 tahun,” kata Mazlan.

Beliau mula mempelajari dan mendalami lebih daripada 10 jenis seni silat sejak berusia lapan tahun antaranya silat Sendeng dari seorang guru, Pak Idrus, di Melaka, silat Kuntau Melayu daripada Pak Uteh, diikuti silat Pukulan Langkah Sembilan dengan Bilal Leman, silat Cimendeh dengan Kang Shukri dari Teluk Penyamun dan silat Gayung Jawa bergurukan Ku Ahmad Ku Mustafa yang lebih dikenali sebagai Pak Ku.

Selain itu, Yusof juga mendalami seni mempertahankan diri seperti karate, taekwando dan shaolin.

Menurut Mazlan, Pertandingan Seni Mempertahankan Diri ini diadakan setiap tahun
di China.

Bagaimanapun buat pertama kali beliau menerima undangan daripada China kerana sebagai projek usahasama antara NQCC dengan China di masa hadapan.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, tahun hadapan NQCC akan bekerjasama dengan sebuah syarikat perfileman dari China untuk menerbitkan filem epik Laksamana Cheng Ho.

“Dalam filem itu nanti pasti ada babak pertarungan dan sebab itu saya mahu memperkenalkan seni silat pada pertandingan ini sebelum ia dipaparkan dalam filem berkenaan.

“Saya yakin seni silat dapat menarik minat bukan sahaja para juri di sana malah melalui filem ia mampu memperluaskan pengaruh Seni Mempertahankan Diri bangsa Melayu.

“Saya mahu silat setanding dengan seni mempertahankan diri lain seperti kungfu, karate dan taekwando yang sebelum ini banyak dipaparkan dalam filem-filem aksi luar negara,” kata Mazlan dengan penuh yakin.

Tambah Mazlan lagi, selain filem Laksamana Cheng Ho, NQCC juga akan menerbitkan program berkonsepkan ‘travelog’ untuk memperkenalkan adat dan budaya Melayu, makanan dan tempat-tempat menarik di Malaysia.

Program bercorak travelog akan ditayangkan di CCTV dan akan dihoskan dua artis popular dari China.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan seninya, Yusof memberitahu pada usianya yang sudah mencecah 61 tahun, tidak ada tawaran lakonan atau pengarahan yang sesuai untuk dirinya.

Walau bagaimanapun, Yusof tidak pernah menutup pintu hatinya untuk terus mendambakan diri dalam dunia seni.

“Kali terakhir saya berlakon menerusi drama Bomoh Temberang. Itu pun hanya dua ke tiga babak sahaja.

“Sebenarnya ada yang masih tawarkan lakonan tetapi umur dah tua begini, watak apa yang sesuai untuk saya?

“Nak berlakon buat roti canai, saya tak tahu. Tapi kalau di suruh berlakon untuk bersilat, mungkin saya terima,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia kelapan menerusi naskhah Anak Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam pertandingan silat di China, Yusof berbesar hati apabila pihak NQCC memilih dirinya untuk mewakili Malaysia.

“Bila Dr. Mazlan dapat tawaran dari China untuk pertandingan wushu (seni bela diri) dan minta carikan orang yang boleh ajar tentang silat, saya tertanya juga apa kena mengena dengan silat.

“Saya cakap padanya, silat kalau nak mahir tak boleh dua tiga bulan, dua tiga tahun pun belum tentu. Bila dia tengok gambar saya dalam filem Anak Sarawak, dia tertarik.

“Dari situlah mulanya saya terlibat dengan Mazlan yang menyertai pertandingan tersebut atas tiket persembahan silat.

“Tanya juga dia kenapa hantar lain daripada yang lain walaupun silat adalah salah satu seni mempertahankan diri, kata Mazlan, penglibatannya untuk pertandingan tersebut bukan untuk menang tetapi hendak memperkenalkan seni silat Melayu.

“Rupa-rupanya dia ada perancangan panjang sebab di masa akan datang dia ada projek tentang filem silat. Katanya, biarlah dari sekarang orang di China melihat apa itu silat. Itu sebabnya saya terbabit dengan projek ini,” kongsinya.

Yusof telah mempersembahkan empat jenis silat iaitu Kalung Jawa, Gayung Jawa, Pelanduk Tunggal dan Tapak Cemendir untuk rakaman video yang akan dihantar ke China.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Selama ini tak pernah terfikir…,” – Iman Troye taruh kreativiti demi showcase solo

PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif,...

More Articles Like This