PELAKON Zul Ariffin menyifatkan individu yang menyuruhnya memuat naik video di Instagram sebagai ‘malaikat’ dan tidak kisah jika hanya dirinya seorang sahaja yang mengaku bersalah.

Zul berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan susulan terhadap pihak yang dipercayai meminta berkongsi adegan babak panas di media sosialnya bagi tujuan mempromosikan drama lakonannya.

“Tiada tindakan sebab orang lain yang terbabit semuanya ‘malaikat’, saya seorang sahaja tidak. Jadi, saya sajalah yang mengaku bersalah. Tidak mengapa,” katanya memetik Harian Metro.

Zul didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di Instagram.

Menurut Zul atau Zulkifli Ariffin,36, kontroversi yang berlaku pada dirinya itu dapat dijadikan pengajaran kepada pelakon lain sebelum memuat naik apa sahaja bentuk promosi karya terbaharu.

“Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana termasuk pelakon.

“Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beriya-iya sangat. Betul tak? Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar ‘selfie’ pun sudah memadai. Tak rugi apa pun,” ujarnya.

Sementara itu, Zul enggan memanjangkan kes dan mengaku bersalah kerana enggan membazirkan masa banyak pihak selain mahu isu tersebut berakhir dengan aman.

“Saya lega dengan keputusan ini. Walaupun saya tak pernah berdepan dengan situasi ini iaitu terbabit dengan kes besar di mahkamah, tapi dengan nasihat peguam dan sokongan daripada rakan-rakan yang hadir saya sangat terharu.

“Saya ingatkan tiada yang akan datang beri sokongan tapi Alhamdulillah ramai yang hadir termasuk rakan media. Saya enggan bazir masa mahkamah atau sesiapa. Jadi saya memilih mengaku bersalah kerana saya yang memuat naik video terbabit.

“Jika tidak, perkara ini akan terus berlanjutan dan saya tak nak hidup dengan rasa yang begitu. Jadi langkah terbaik saya anggap ini kesalahan atas kelakuan saya selain rasa bersalah kepada Allah,” katanya.

SUMBER: Harian Metro