[DIKEMASKINI] SEKURANG-kurangnya 36 orang terbunuh termasuk 24 orang kanak-kanak dalam satu serangan tikam dan tembak oleh seorang bekas pegawai polis di sebuah pusat jagaan kanak-kanak pra sekolah di wilayah timur laut Thailand hari ini.
Menurut kenyataan Polis Thailand lelaki bersenjata berusia 34 tahun yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kenderaan, kemudiannya membunuh isteri dan anaknya sebelum menembak dirinya sendiri.
Dalam satu kenyataan, polis Thailand memaklumkan bahawa 24 kanak-kanak dan 12 dewasa terbunuh manakala 15 lagi cedera termasuk lapan kritikal dalam kejadian pada 1 tengah hari (waktu tempatan).
Lelaki bersenjata itu, bekas anggota polis telah diberhentikan atas kesalahan berkaitan dadah pada tahun lepas.

Kadar pemilikan senjata api di Thailand adalah tinggi berbanding beberapa negara lain di rantau ini.
Namun angka rasmi itu tidak termasuk sejumlah besar senjata api haram, kebanyakannya dibawa masuk merentasi sempadan negara.
Insiden tembak beramai-ramai jarang berlaku di Thailand tetapi pada 2020, seorang askar yang berang dengan perjanjian hartanah membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 dalam amuk yang menjangkau empat lokasi.

