PERBICARAAN kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke 11 Okt setelah peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sakit.

Seorang lagi peguam bekas perdana menteri itu, Alaistair Brandah Norman memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Muhammad Shafee demam serta sakit tekak yang teruk menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

“Tan Sri (Muhammad Shafee) sakit pagi tadi dan diberi cuti sakit selama empat hari, bermula hari ini hingga 9 Okt. Beliau tidak dapat hadir ke Mahkamah Rayuan pagi ini.

“Bagi perbicaraan kes 1MDB minggu depan pada 11 Okt, kami memohon pengurusan kes ditetapkan pada 2.30 petang kerana Tan Sri telah diarahkan hadir pada satu lagi kes rayuan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid… beliau dikehendaki mengemukakan enam alasan bagi kes yang telah berlangsung sejak 1999 dan tidak akan dapat hadir untuk sesi pagi perbicaraan,” katanya.

Peguam itu juga memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Okt diadakan pada sebelah petang kerana Muhammad Shafee perlu berada di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk permohonan Najib mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan permintaan bekas perdana menteri itu menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Baca artikel berkaitan: Tiada dana 1MDB digunakan dalam projek cari gali minyak PetroSaudi International – Peguam

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata pendakwaan tidak membantah penangguhan hari ini, bagaimanapun memohon saksi terdahulu, Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, yang masih belum disoal balas dan disoal semula diselesaikan sebelum memanggil saksi lain.

Pada ketika ini, hakim berkata saksi-saksi ini akan tergantung jika perkara ini diteruskan dan meminta pihak pendakwaan mengaturkan saksi baharu bagi memastikan perbicaraan diteruskan.

“Kes (1MDB) ini telah tertangguh sekian lama. Kami tidak boleh menunggu mahkamah ini dan mahkamah itu, kami juga mempunyai komitmen untuk menyelesaikan perbicaraan ini. Sila pastikan saksi baharu tersedia pada hari itu (11 dan 12 Okt),” kata hakim.

Perbicaraan 1MDB hari ini sepatutnya diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap Cheah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-39 oleh Muhammad Shafee.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram