FESTIVAL indie Asia Tenggara, TAPAUfest kini kembali dengan keunikan dan kepelbagaian tarikan yang menggabungkan elemen alam semula jadi dan seni di lokasi yang jauh dari kesesakan bandar namun mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri iaitu di Lenggong, Perak.

Ini bermakna komuniti muzik indie Asia Tenggara bakal berkumpul dan beraksi dikelilingi alam yang indah!

Pada 22 dan 23 Oktober, TAPAUfest melangkaui kebiasaan sebuah festival muzik dengan mengajak kita semua bersama berkelah atau berkhemah di Resort Tasik Raban sambil menikmati persembahan barisan pemuzik indie terbaik Asia Tenggara. Dengan tasik dan gunung-ganang sebagai latar belakang, ia pasti menjadi pengalaman yang cukup istimewa.

Pengasasnya, Ahmad Faris berkata,pihaknya mempunyai visi yang jelas untuk TAPAUfest buat kali ini.

“Salah satu sebab kami melakukannya di Lenggong adalah kerana kami mendambakan peluang untuk meneroka Malaysia di luar bandar. Selepas satu dunia terkesan dengan wabak, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert,” ujarnya.

Salammusik

Dengan tema #SerumpunBerpesta, TAPAUfest menghimpunkan 12 aksi persembahan ‘PENTAS’ merentasi genre dan nuansa dari Malaysia, Indonesia dan Singapura selama dua hari anda di sana.

Hari pertama TAPAUfest 2022 menampilkan .Feast (ID), Margasatwa (MY), Abangsapau (SG), Sweetass (MY), The Pinholes (SG) dan Salammusik (MY).

Abangsapau

Hari kedua diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The DARE (ID), The Filters (MY), Sobs (SG), The Times (MY) dan Hindia (ID).

Hindia

Dengan campuran kugiran yang sudah dikenali dan nama yang baru naik dalam ruangan alternatif, TAPAUfest berbangga untuk menjadi pentas penampilan sulung bagi barisan artis Indonesia di Malaysia, iaitu Hindia, The Dare dan .Feast! Aksi dari artis Malaysia semestinya menjanjikan kelainan baharu dengan penampilan Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese yang pastinya membuatkan kita terpukau dengan gabungan musikalisasi hip-hop dan hardcore.

Kungfuheidi

Aksi pemuzik dari Singapura tidak kurang menariknya, daripada nostalgia pop-yeh-yeh The Pinholes, kepada rapper Sikh-Melayu dengan keterampilan berkain pelikat, Abangsapau, hingga ke indie pop, Sobs!

Persembahan muzik akan bermula pada pukul 5 petang, memberikan ruang dan masa untuk anda meneroka pelbagai aktiviti dan tempat menarik yang ditawarkan di Lenggong. Jadi tak perlu tergesa-gesa memasang khemah kerana ini adalah peluang anda untuk santai bersama.

Dari pukul 10 pagi sehingga 4 petang, jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan dari pembikin filem indie dan belajar dari bengkel dan sesi kongsi di ‘BENGKEL + LAYAR’, hasil kerjasama bersama Kakiseni. Inilah masanya untuk anda ‘Tapau sedikit pengetahuan!’

Selain itu, misi TAPAUfest adalah untuk memartabatkan ekonomi tempatan dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut citarasa tempatan di ‘WARUNG’.

TAPAUfest juga bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan anda kelainan dengan terdapatnya reruai untuk barangan, rilisan fizikal seperti piring hitam, kaset dan CD, selain karya seni dari artis tempatan dan banyak lagi!

“Kami sangat menghargai semangat dan penglibatan oleh Majlis Daerah Lenggong bagi menjayakan TAPAUfest di kawasan mereka.

“TAPAUfest juga tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dari CENDANA yang menunjukkan kepercayaan mereka terhadap komuniti indie sekali lagi. Terima kasih juga kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan Anbot kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni, komuniti dan budaya indie Asia Tenggara,” tambah Ahmad Faris lagi.

Tiket Pra-Jualan sudah boleh dibeli dengan Tiket Solo Sehari berharga RM165 (1 tiket untuk Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (1 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2).

Untuk maklumat lanjut jemput ke www.TAPAUfest.asia dan TAPAU tiket anda sekarang!

Jemput layan senarai main TAPAUfest di sini: https://open.spotify.com/playlist/3e77WAVfk3TaGM9uVoCgLK?si=96e45fc199874ebe

Jangan lupa sebarkan berita ini dengan menggunakan hashtag #TAPAUfest #SerumpunBerpesta dan #LepakLenggong.

Untuk seberang pertanyaan sila hubungi Ahmad Faris di [email protected] atau +60172351204