MESYUARAT khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dimaklumkan kelak.
Ia susulan pengisytiharan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu diberitahu Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, mesyuarat khas itu akan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.
Selaras pembubaran Parlimen, Ikmalrudin memaklumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRU-15 kini dibuka serta-merta.
“Tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan kelak selepas SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh pilihan raya,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel berkaitan: Sidang Dewan Rakyat batal selaras pembubaran Parlimen
Dalam pada itu, Ikmalrudin turut memaklumkan permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu untuk petugas pilihan raya; ahli atau pegawai SPR; anggota polis; anggota tentera dan petugas media perlu dipohon secara manual menggunakan Borang 1A.
Jelasnya, borang itu dimuat turun daripada portal rasmi SPR dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.
“Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR.
“Bagi Kategori 1B iaitu warganegara yang berada di luar negara dan 1C iaitu agensi atau organisasi pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal myspr.spr.gov.my,” jelas beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.
Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram