Pilihan raya kali ini hanya untuk pilih Ahli Parlimen?

Dari Penulis

KEPUTUSAN Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak memberi perkenan kepada permintaan kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) menambahkan lagi kehangatan senario politik negara selepas pembubaran Parlimen, Isnin lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohammad berkata, Sultan Nazrin akan mengumumkan keputusannya mengenai perkara itu tidak lama lagi dan beliau kemudiannya akan menghadap baginda sekali lagi bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dan Pas yang menguasai enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu secara tidak rasmi menyatakan mereka tidak akan membubarkan DUN tahun ini.

Mereka memberi alasan ingin memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan persediaan menghadapi musim tengkujuh, manakala Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah dijangka tidak akan mengadakan PRN kali ini kerana baharu sahaja mengadakan pilihan raya itu baru-baru ini

Setakat ini hanya Negeri Sembilan sudah mendapat perkenan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengenai perkara tersebut, manakala negeri-negeri lain belum berbuat demikian.

Selangor dijangka tiada masalah mengikuti langkah tersebut, bagaimanapun kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan telah menghantar cadangan pembubaran DUN kepada Majlis Presiden PH selepas mengambil kira pandangan rakyat yang tidak mahu dua kali keluar mengundi dan keputusan rasmi mengenainya akan diumumkan sehari dua lagi.

Di atas kertas, DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Perak, Pahang, dan Perlis djangka tidak akan ada masalah dibubarkan serentak untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun, perkembangan di Perak hari ini menunjukkan ramalan itu tidak menjadi kenyataan apabila Sultan yang mempunyai kuasa mutlak mengenai pembubaran DUN tidak memberi perkenan ke atas permintaan kerajaan negeri Perak.

BERITA BERKAITAN DUN Perak belum bubar, tunggu pertimbangan Sultan – MB

Pas juga seakan-akan akan mengesahkan untuk menyertai Negeri Sembilan dan Perak apabila menyatakan mereka tidak wajar tidak dipersalahkan dengan kenaikan kos PRU-15 jika tiga negeri diterajui parti itu tidak dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, parti itu konsisten mahu pilihan raya diadakan sehingga tamat penggal pentadbiran pada tahun hadapan.

“Siapa yang mula-mula nak buat pilihan raya dalam keadaan menyusahkan rakyat yang mana mereka tahu bahawa negeri-negeri tidak berhajat mengadakan pilihan raya dan telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri daripada PH,” katanya.

Pas juga belum mengeluarkan keputusan rasmi sama ada akan membubarkan DUN atau tidak dan keputusan muktamadnya akan dinyatakan esok selepas kepimpinan tertingginya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.

Kini, hanya Pahang dan Perlis merupakan dua negeri yang di bawah penguasaan BN dijangka mengadakan PRN jika permohonan mereka untuk membubarkan DUN masing-masing diperkenankan oleh Raja Perlis dan Sultan Pahang.

Bagaimanapun, tidak mustahil untuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Sultan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikuti langkah Sultan Nazrin untuk juga tidak memberi perkenan membubarkan DUN.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tiga lelaki warga asing ditahan kes curi dan dadah

TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit...

More Articles Like This