PERGERAKAN Pemuda UMNO telah menghantar senarai calon mereka bagi bertanding di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) untuk penelitian kepimpinan parti, kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata senarai calon yang ditampilkan bukan sahaja melibatkan ramai wajah baharu, malah mereka dipilih berdasarkan kawasan tumpuan yang boleh dimenangi calon pergerakan itu.
Menurutnya, kejayaan penampilan calon lebih muda dan muka baharu terbukti pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka sebelum ini yang menyaksikan calon Pemuda berjaya menambat hati pengundi dan memberi kemenangan kepada parti dan Barisan Nasional (BN).
Baca artikel berkaitan: Mesyuarat khas MT UMNO malam ini bincang PRU-15
“Kita mencadangkan calon mengikut kriteria yang ditetapkan parti iaitu WALI, ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi) oleh rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Pemuda UMNO hari ini.
“Pemuda tak pernah mendesak agar ada kuota 30 peratus calon Pemuda, namun pendirian kita adalah mahu UMNO dan BN menampilkan calon muda yang memberi isyarat bahawa BN sentiasa meremajakan serta membuat pembaharuan dalaman parti,” tambahnya.
Asyraf Wajdi turut mengesahkan nama beliau antara calon dari Pemuda UMNO yang dihantar untuk penelitian Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

