SEORANG lelaki bersama dua wanita berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki tersangkut di persisiran Pantai Sentosa, Sekinchan, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 3.08 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba tujuh minit kemudian dan mendapati sebuah Perodua Myvi tersangkut di pantai dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, anggota bomba dan orang awam bersama-sama membantu menolak kenderaan naik sehingga ke ban jalan.
Norazam berkata, kes kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 3.58 petang.

