DAP mula mempamerkan belang sebenar mereka apabila mempersoal pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14 yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini susulan tindakan penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua lagi defenden.
Ismail Sabri mendakwa, inilah sikap DAP terhadap institusi diraja Melayu yang memayungi rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Beliau menjelaskan, pengisytiharan dilakukan mengikut lunas yang betul di bawah Perkara 55(2) dan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang dibawa ke mahkamah itu dia (DAP) nak persoal kuasa siapa, yang dia nak cabar di mahkamah itu dia nak cabar kuasa siapa, yang dia cabar di mahkamah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa terakhir memutus adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya boleh mohon perkenan, kalau Agong kata tak boleh, tak bubarlah Parlimen.
“(DAP) tidak menghormati dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara, DAP dah tunjuk belang, dah tunjuk siapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Kompleks UMNO Bagan Datuk, hari ini
Serentak itu, Ismail Sabri mahu seluruh jentera BN bekerja keras dalam memastikan hasrat Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memerintah hanya tinggal angan-angan.
Perdana Menteri dalam masa sama mahu, BN kembali menjadi kerajaan yang dominan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan memenangi sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen.
“Kita mesti pastikan menjadi parti dominan di dalam kerajaan yang akan dibentuk, kalau kita masih dapat 30, 40 kerusi seperti dulu kita takkan dapat menguasai Kabinet.
“Kali ini kita mesti menguasai Kabinet sekurang-kurangnya 80 kerusi, tapi Tok Mat dah umum 112 kerusi semalam, eloklah itu.
“Bermakna kali ini bukan setakat kita nak menang tetapi kita mesti menang besar di dalam PRU yang akan datang ini, kalau boleh kita dapat dua pertiga,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui tiada jaminan untuk BN menang dengan mudah yang memerlukan ahli akar umbi melipat kali gandakan usaha mereka bagi memenangi undi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

