Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mempersembahkan Himpunan Terinai Perlis dengan tajuk “Restorasi Terinai Perlis” oleh Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya dan KESUMA sempena Panggung Seni Tradisional 2022 (PST2022) pada malam ini dan esok, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Program ini merupakan usaha JKKN bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional dapat diteruskan dan alternatif kepada langkah pemeliharaan seni warisan negara.
Ia menjadi serampang dua mata dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan PST merupakan salah satu produk pelancongan negara.

Sejak pelaksanaannya dari 2013, PST telah menampilkan sebanyak 51 kesenian tradisional yang merangkumi tiga genre iaitu tari, muzik dan teater dengan melibatkan 103 kumpulan kesenian terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan, universiti awam dan NGO.
Pada tahun ini, PST2022 kembali menemui peminat dengan menyajikan lima pengisian persembahan terbaik yang ditunggu-tunggu oleh para penggemar seni budaya seluruh Malaysia khususnya.

PST2022 telah membuka tirainya dengan mengadakan beberapa persembahan sebelum ini. Antara persembahannya ialah:
i) Teater Tradisional Wayang Kulit bertajuk “Derhaka Tiga Pengasuh” dipersembahkan oleh Akademi Arjunasukma (27 & 28 Mei 2022)
ii) Himpunan Zapin Alam Melayu “Nuansa Zapin” oleh Nyala Dance Theatre (24 & 25 Jun 2022)
iii) Muzik Gendang dan Tari Etnik Punjabi “Sounds of Punjab” oleh Dhol Alliance (22 & 23 Julai 2022)
iv) Muzik dan Tarian Klasik Cina “Eternal Love” oleh Kelab Tarian Han Fong Kuala Lumpur (23 & 24 September 2022)
“Restorasi Terinai Perlis” menampilkan Terinai terawal dan evolusinya dari 1900 sehingga 2022. Merangkumi sembilan jenis Terinai termasuk sebuah rekonstruksi Terinai lama dan lapan Terinai ciptaan tradisi.

Program Terinai yang julung kali diadakan ini menghimpunkan pelbagai bentuk Terinai dalam satu persembahan melalui bimbingan artistik pakar Terinai, Dr. Zamin Haroon.
Antara yang akan ditampilkan untuk persembahan ini ialah:
i) Terinai Mengadap dan Selom;
ii) Terinai Layang Mas;
iii) Terinai Dudui;
iv) Terinai Dewa Raja;
v) Terinai Ketam Bawa Anak;
vi) Terinai Putra Mahkota;
vii) Terinai Sri Indera; serta
viii) Inang Jawa dan Bertabuh.
Dipersembahkan bukan sahaja sebagai satu bentuk hiburan semata, malah menjadi satu program pendidikan yang merangkumi tarian dengan menggabungkan elemen seperti demonstrasi, dialog, dan persembahan audio-visual untuk memberi informasi bagi memperkayakan pengalaman penonton.
Mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Persembahan ini diiringi dengan muzik secara langsung, oleh orkestra Gendang Keling yang diketuai oleh pakar muzik, Amil Senapi.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi dalam kenyataannya berkata, “MOTAC menerusi JKKN sentiasa komited terhadap usaha bagi memartabatkan kesenian tradisional yang unik dan autentik seperti program Panggung Seni Tradisional (PST) ini.
“Pelaksanaan PST menjadi medium yang sangat bertepatan dalam usaha menyemarakkan seni budaya warisan negara agar tidak lapuk ditelan zaman bahkan terus membara untuk generasi akan datang,” katanya.
Hadir sama dalam majlis malam ini, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Yusop serta Barisan Pengurusan Tertinggi MOTAC.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya

