JAMINAN Barisan Nasional (BN) untuk melantik tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan langkah penjimatan, bukannya pembaziran.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti dilaporkan BH Online.
Menurut Ahmad, jawatan itu adalah lebih baik daripada membayar gaji dan elaun empat Menteri Kanan yang dipraktikkan kerajaan ketika ini.
Beliau berkata, peruntukan gaji dan elaun empat Menteri Kanan sudah pasti lebih besar berbanding tiga TPM.
“Jadi bagi saya, jawatan empat Menteri Kanan yang ditiadakan itu adalah pilihan terbaik, apatah lagi alternatifnya adalah tiga TPM.
“Sudah pasti tiga TPM itu dikhususkan tugasan mereka bagi masing-masing membantu Perdana Menteri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Johl di Pontian, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, kejutan yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu pastinya menjadikan tawaran manifesto gabungan tersebut lebih menarik dan istimewa.
Baca artikel berkaitan: Jika BN menang dominan, akan ada tiga TPM mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung – Zahid
Jelas beliau, jaminan itu merupakan game changer bagi BN menghadapi PRU-15.
“UMNO amat gembira dengan tawaran manifesto berhubung tiga TPM membabitkan wakil Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia adalah ‘game changer’ bagi BN menghadapi PRU15 berbanding tawaran parti lain.
“Selama ini, wakil Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi peluang, sama ada menjadi TPM, apatah lagi Perdana Menteri.
“Sebenarnya, tawaran manifesto berhubung tiga TPM itu sudah lama dibincangkan, namun baru diumumkan. Ia sudah pasti menggembirakan pengundi di Sabah dan Sarawak dan menjadikan manifesto BN lebih menarik dan inklusif berbanding gabungan lain,” katanya.
Semalam, media melaporkan BN berjanji melantik tiga TPM yang mewakili rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Katanya, jaminan itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum PRU-15 nanti dengan jawatan tiga TPM itu diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 itu.
Jawatan Menteri Kanan telah diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat jawatan tersebut sebelum ini.
Ketika ini, di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat Menteri Kanan diumumkan pada 27 Ogos tahun lalu.
Empat Menteri Kanan tersebut adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

