SETELAH lima tahun berehat dari dunia politik, bekas presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat mengumumkan penyertaannya dalam Warisan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Menurut bekas Menteri Pengangkutan itu, kemunculannya kembali didorong kemelut politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan dan dibuat atas desakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Saya kembali sebagai ‘orang baharu’ yang banyak pengalaman,” katanya dalam temu bual bersama Sin Chew Daily.
Bercakap mengenai kemelut politik di negara ini sejak beberapa tahun lalu, Ong berkata beliau kecewa kerana beberapa ahli politik tidak mempunyai prinsip dan goyah dalam pendirian mereka.
Beliau juga kecewa kerana belanjawan persekutuan sejak pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi “tidak seimbang”.
Kekecewaan menjadi berganda adalah disebabkan perjanjian politik antara pembangkang dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dilabelkannya sebagai “merugikan diri sendiri”.
“Adakah ini yang pengundi mahukan? Saya tidak fikir begitu,” katanya dalam laporan akhbar itu lagi.
Ong berkata, jika diberi peluang, beliau ingin bertanding di kerusi Parlimen Pandan yang pernah diwakilinya.
Beliau adalah Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 selepas berkhidmat empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya, di mana Pandan kemudiannya dikeluarkan.
Beliau berkata banyak perubahan berlaku di kawasan Pandan sejak beliau meninggalkan kawasan itu, dengan penduduk memberitahunya tidak ada perayaan diadakan untuk memupuk perpaduan seperti yang pernah beliau anjurkan ketika menjadi Ahli Parlimen.
Ong pernah bersama MCA selama 28 tahun dan meletak jawatan pada 2017 kerana ingin menjadi “warganegara biasa”.
Beliau pernah menjadi menteri pengangkutan pada 2008 dan sebelum itu beliau pernah menjadi timbalan menteri belia dan sukan serta timbalan menteri pengajian tinggi.
Sementara itu menurut laporan Bernama, Presiden Warisan, Mohd Shafie berkata, selain Ong, ada lagi bekas pemimpin dan ahli parti utama seperti PKR dan UMNO yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU-15 di Semenanjung.
“Saya umumkan calon Warisan di Semenanjung ialah bekas Presiden MCA. Saya umumkan calon di Perlis ialah bekas (ahli/pemimpin) UMNO, saya akan umumkan calon di Wangsa Maju (ialah) bekas (ahli/pemimpin) PKR. Semua boleh bergabung di bawah Warisan,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu bagi Parlimen Tenom di sini hari ini.
Pada 13 Okt lepas, Mohd Shafie dilapor berkata Warisan akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah serta satu di Labuan selain mengenal pasti beberapa kerusi di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak yang berpotensi untuk ditandingi.

