POLIS Pulau Pinang mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga Parlimen di negeri ini sebagai kawasan berstatus ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dapatan itu berdasarkan beberapa kejadian yang berlaku semasa PRU-14, iaitu menghalang dan menyerang kenderaan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kenderaan polis.
“Mengambil kira pilihan raya yang lepas (PRU-14), tiga daripada 13 Parlimen merupakan kawasan ‘panas’ di negeri ini iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Batu Kawan di bahagian tanah besar dan Balik Pulau, dekat sini. Jadi, pihak polis sudah pasti memberi perhatian serta keutamaan penugasan di kawasan terlibat.
“Pihak polis berharap semua penyokong parti dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak mengulangi kesilapan lampau serta tidak membuat provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang dan kekacauan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Baca artikel lain: Tak bolehkah SPR tegah bawa telefon bimbit masa mengundi?, tanya Tun M
SPR menetapkan hari pengundian PRU-15 pada 19 November dengan penamaan calon pada 5 November, manakala pengundian awal pada 15 November ini
Mohd Shuhaily berkata polis Pulau Pinang telah menyusun serta mengatur penugasan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan dalam keadaan selamat, selain tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh berkempen.
Katanya penugasan dibahagikan kepada dua skop besar iaitu melibatkan tugasan dipohon SPR dan memastikan keselamatan 1.8 juta penduduk Pulau Pinang dengan 1.2 daripadanya pengundi terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon hingga selesai PRU-15.
“Seramai 4,514 pegawai dan anggota atau 73 peratus daripada polis Kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang PRU-15 dan kami juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan serta perincian penugasan dengan SPR dan agensi lain sejak sebulan lepas,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga memohon bantuan polis Bukit Aman untuk memantau laman web atau akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu atau provokasi mana-mana pihak supaya pasukannya dapat mengambil tindakan awal.
Menurutnya semua penyokong parti turut dinasihatkan agar berkempen secara matang dan mengawal emosi serta mengelakkan sebarang kekecohan yang boleh menimbulkan suasana tidak aman sekali gus memberi pesepsi buruk kepada parti yang diwakili.
“Pihak polis akan sentiasa memantau perkembangan sepanjang perjalanan PRU-15 dan tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat sebarang perlakuan tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak yang dilihat boleh mendorong kepada insiden lebih serius,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

