Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal sebagai Perdana Menteri (PM) sekiranya gabungan tersebut memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid berkata walaupun Ismail Sabri tidak memegang jawatan paling tinggi parti, itu bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Ini kerana proses memilih Perdana Menteri bukan hanya terletak kepada keputusan parti politik tetapi kita harus menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat (Seri Paduka) baginda mempunyai sokongan majoriti di dewan tersebut,” kata presiden UMNO itu.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian kepada media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di Bagan Datuk hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pembangunan masyarakat Felda lebih baik di bawah kerajaan BN – PM

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid menjadi PM dan isu itu dijadikan modal pembangkang semasa berkempen PRU15.

Ahmad Zahid berkata pembangkang akan menggunakan apa sahaja isu yang boleh memberi kemenangan kepada mereka.

“Apa yang penting BN perlu melepasi jambatan sokongan daripada rakyat dan cukup jumlah kerusi (Parlimen) untuk BN membentuk kerajaan, itu kita berikan keutamaan,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata Ismail Sabri kekal dinamakan sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU15 dan calon PM, dengan pendirian gabungan berkenaan berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN menang pilihan raya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram