Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama dan tolong memastikan keselamatan rakyat berikutan hujan lebat dan paras air sungai di beberapa negeri semakin naik yang mungkin mengakibatkan banjir.

Malah menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), empat daerah di Selangor, Kelantan dan Johor terjejas banjir setakat 12 tengah hari tadi dengan 731 mangsa daripada 175 ketua isi rumah (KIR) ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau amat bimbang dengan hujan lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama.

Menurutnya Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), agensi-agensi kerajaan yang berkaitan diharap sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi situasi banjir dan membantu mangsa-mangsa.

“Saya amat bimbang dengan keadaan hujan yang lebat di beberapa kawasan dan paras air yang semakin menaik di sungai-sungai utama di Pahang, Perlis, Sarawak, Selangor dan juga beberapa kawasan di Johor, seperti yang telah diramalkan sebelum ini.

“Saya juga menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama, tolong membantu memastikan rakyat selamat. Ketepikan soal politik, apa yang penting nyawa rakyat selamat,” katanya menerusi catatan Facebook.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, beliau mengerahkan jentera Perikatan Nasional agar mengutamakan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Semoga usaha kita semua diberkati. Saya mendoakan agar penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir terselamat dan kita semua dilindungi dari musibah banjir ini, insyaAllah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk), iaitu sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Setiu di Terengganu, Sungai Golok (Kelantan) serta Sungai Endau (Johor/Pahang), kejadian banjir boleh berlaku.

NADMA memaklumkan sekretariat JPBN Kelantan melaporkan beberapa kawasan di negeri itu mula dinaiki air, bagaimanapun keadaan terkawal dan selamat dengan semua penduduk yang terkesan dalam keadaan siap siaga dan akan berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

Pada masa sama, NADMA memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) secara maya pada 11.45 malam tadi.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan membincangkan situasi terkini pengurusan banjir sejak bermulanya monsun timur laut pada 7 Nov lepas serta negeri-negeri yang terlibat.

“Persediaan awal di pihak JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah dari aspek sokongan aset, sumber manusia dan fasiliti PPS melancarkan lagi tindak balas menyelamat serta pemberian bantuan kepada mangsa yang terkesan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, NADMA memaklumkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.

Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini serta sahih daripada MetMalaysia, selain diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diarahkan.