Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan peniaga-peniaga ketika mengadakan walkabout di Pasar Tani Kampung Melayu Subang. GAMBAR: Abd Razak Aid

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menggariskan empat teras utama kata janji dalam manifesto khasnya untuk pengundi di kawasan itu.

Empat kata janji yang diletakkan di Facebook miliknya itu menggariskan elemen Sejahtera Sungai Buloh, Digital Sungai Buloh, Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh.

Dalam kata janji Sejahtera Sungai Buloh, Khairy merancang untuk mewujudkan dua Pusat Khidmat Ahli Parlimen iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan di DUN Kota Damansara.

Selain itu, beliau mahu memperkukuhkan program bantuan kebajikan menerusi kerjasama badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) serta memperkasa peranan persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) dalam penyelesaian isu di kawasan perumahan.

Beliau juga mahu melaksanakan projek mitigasi banjir menerusi naik taraf sistem saliran dan mendalamkan sistem perparitan.

BERITA BERKAITAN PRU-15: Khairy suara hasrat menjadi Presiden UMNO, Perdana Menteri pada masa depan

Pada masa sama, beliau juga mahu memperluaskan jaringan pengangkutan ‘first mile’ dan ‘last mile’ antara kawasan perumahan dengan stesen kereta api dalam Sungai Buloh menerusi kerjasama syarikat pengendali perkhidmatan pengangkutan awam serta mewujudkan Pusat Komuniti Sungai Buloh.

Akses kepada pusat jagaan kanak-kanak untuk komuniti B4 akan diperluaskam, mewujudkan program JobExchange, Klinik penyediaan Curriculum Vitae (CV) dan persediaan temuduga untuk pencari kerja serta program internship untuk pelajar OKU.

Bagi kata janji Digital Sungai Buloh pula, beliau mahu pelaksanaan sistem pemantauan secara dalam talian bagi aduan dan cadangan yang diterima oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen.

Beliau juga mahu memperluaskan capaian Internet 5G di seluruh Parlimen Sungai Buloh dan melaksanakan program tuisyen dalam talian kepada murid tahun peperiksaan.

Beliau turut merancang memperkasakan perdagangan secara tanpa tunai terutamanya membabitkan peniaga kecil dan menyediakan bengkel perniagaan digital dan kemudahan Internet untuk masyarakat Orang Asli selain Program Digital Learning untuk mengasah bakat dengan Google.

Menyentuh mengenai Sihat Sungai Buloh pula, Khairy mahu memperluaskan akses saringan kesihatan PeKa B40 menerusi penambahan klinik panel di seluruh kawasan itu.

Selain itu, beliau mahu melaksanakan projek naik taraf infrastruktur dan tambah baik kelengkapan peralatan di fasiliti kesihatan kerajaan di Sungai Buloh.

Pada masa sama, beliau mahu menjalankan Projek Pembangunan Hospital Sungai Buloh sebagai Institut Kawalan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (National Institute for Infectious Disease Control, NIIDC).

Khairy juga mahu melaksanakan Program #FitSungaiBuloh di peringkat komuniti secara berkala dan mewujudkan perkhidmatan sokongan populasi menua dan perkhidmatan perawatan domisiliari selain memperluaskan akses bagi perkhidmatan serta sokongan dialisis.

Dari aspek Lestari Sungai Buloh pula, beliau mahu mengadakan Program Kesedaran Persediaan Bencana-penyediaan kit bencana, prosedur operasi standard (SOP) dan Pusat Pengurusan Bencana.

Beliau juga mahu mewujudkan konsep Gardens by Sungai Buloh selain memberi penekanan terhadap penggunaan sumber boleh diperbaharui.

Program Pembangunan Pertanian Bandar untuk menjadikan Sungai Buloh sebagai hab galakan pertanian bandar seperti aeroponics antara yang ditekankan dalam segmen itu.

Dalam manifesto itu, Khairy turut menggariskan enam elemen sebagai visi serta impian beliau dalam usaha membina Malaysia yang maju dan terkedepan dalam segala aspek kesejahteraan kehidupan.

Elemen yang diketengahkan dalam misi dan impian beliau itu adalah kesihatan dan kesejahteraan; perubahan iklim, pendidikan; teknologi dan inovasi; kebajikan dan komuniti serta ekonomi.

Antara isu yang diberi penekanan dalam elemen kesihatan dan kesejahteraan adalah 10 juta rakyat Malaysia kekal sihat bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Bagi aspek pendidikan pula, beliau mahu penambahbaikan kurikulum pendidikan yang mendepani cabaran masa hadapan, manakala elemen perubahan iklim merangkumi hasrat menjadikan Malaysia Bebas Karbon 2050.

Dari aspek teknologi dan inovasi pula, beliau mahu meningkatkan perbelanjaan untuk penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram