Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk ketika mengadakan perjumpaan bersama Generasi Awal Kampung Subang di Taman Subang Perdana, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SETELAH tujuh hari berkempen, hari ini calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin melancarkan manifesto khusus buat Sungai Buloh, #KataJanjiSungaiBuloh sekiranya diberi peluang sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

Dalam video yang dimuatnaik ke akaun media sosialnya, Khairy memaklumkan, #KataJanjiSungaiBuloh mengandungi empat teras utama bagi kesejahteraan dan kemakmuran penduduk kawasan berkenaan.

Bertemakan ‘Kita Jaga Sungai Buloh, Kita Jaya Malaysia’, Khairy berkata, manifesto itu merupakan iltizam dan janji beliau kepada pengundi sekiranya dipilih pada hari pengundian, minggu hadapan.

Jelas beliau, empat teras utama itu merangkumi ‘Sejahtera Sungai Buloh; Digital Sungai Buloh; Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh’.

“Saya ini bukanlah saudagar mimpi yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi kesemua pengisian ini dibentuk bersandarkan kepada pengalaman saya sebagai ahli Parlimen tiga penggal di Rembau serta pernah menerajui tiga kementerian sebelum ini.

“Saya percaya setiap isi kandungan manifesto saya ini mampu dilaksana dan dicapai,” katanya dalam video tersebut hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan akan berkongsi perincian lanjut mengenai keempat-empat teras utama manifestonya itu dalam video-video akan datang.

Baca artikel berkaitan: ‘Saya masih anggap diri ‘underdog’ di Sungai Buloh’ – KJ

Jelas beliau, #KataJanjiSungaiBuloh merupakan tekad dan komitmennya kepada pengundi.

“Saya akan berusaha sepenuh daya untuk saya kota janji bagi membalas kepercayaan para pengundi.

“Bersama-sama kita kasi jadi tekad dan komitmen ini. Bersama-sama kita jaga Sungai Buloh, kita jaya Malaysia,” katanya.

Khairy akan berhadapan pertandingan tujuh penjuru di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Beliau akan menentang Datuk R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Ghazali Md Hamin mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, kerusi Parlimen Sungai Buloh juga memperlihatkan kehadiran Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi R. Sivarasa dari PH (PKR) selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari PAS, A Prakash Rao (BN) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram