Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBAIK sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat menekankan soal ‘tiada sesiapa pun yang tertinggal’.

Semua pihak diberi tumpuan tidak kira suku kaum, umur atau pun jantina lebih-lebih lagi pada tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19.

Kira-kira 17 bulan menongkah arus dan bertungkus-lumus menguruskan wabak COVID-19 pendekatan masyarakat keseluruhan, Muhyiddin ternyata begitu tekad melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara meskipun berhadapan dengan pelbagai onak dan duri bagi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai negara maju menjelang 2030.

Pendekatan masyarakat keseluruhan itu terus diamalkan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak lagi menerajui pentadbiran negara.

Justeru, menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PN sekali lagi tampil dengan pendekatan bagi memastikan tiada sesiapa pun akan tertinggal daripada arus pemodenan dan bantuan kerajaan.

Menerusi Tunjang 4 dalam manifesto ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau disebut PN BEST, gabungan itu berhasrat ‘Mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum’.

Tunjang 4 itu terbahagi kepada dua iaitu memperkasa agenda bumiputera serta menjaga kebajikan dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli dan semua kaum.

Di bawah usaha untuk memperkasa agenda bumiputera, PN berhasrat untuk memantapkan agensi seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB); Majlis Amanah Rakyat (Mara); Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas); Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Baca artikel berkaitan: Pemantapan tadbir urus, berintegriti jadi tunjang PN BEST

Selain itu, PN juga menetapkan sasaran keberhasilan menyeluruh dan jelas serta intervensi berkesan bagi memastikan agenda bumiputera tercapai.

Pada masa sama, gabungan itu turut menawarkan penyelarasan semua program pembangunan bumiputera di kementerian dan agensi bagi memastikan pegangan ekuiti bumiputera dapat ditingkatkan ke tahap 30 peratus.

PN turut berhasrat mewujudkan pusat sehenti untuk menambah usahawan bumiputera menceburi perniagaan dalam bidang teknologi tinggi dan ekonomi masa hadapan.

Penglibatan usahawan bumiputera dalam sektor pengeluaran hasil pertanian juga akan ditingkatkan melalui insentif khas Dana Agropreneur Bumiputera sebanyak RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

Di samping itu, PN sebagai kerajaan Persekutuan akan meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memantapkan penguatkuasaan ke atas pemaju rumah bagi memastikan ketetapan syarat kuota bumiputera dipatuhi.

Biasiswa untuk sektor profesional dan masa hadapan yang kurang penyertaan bumiputera turut ditingkatkan selain memperkasa Majlis Kemakmuran Bumiputera bagi mempercepat pelaksanaan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030.

PN juga akan berusaha merapatkan jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan bumiputera dan intra kaum melalui pembangunan profesionalisme, keusahawanan dan perniagaan.

Tidak mahu meninggalkan kaum lain, PN juga akan mempertahankan hak-hak semua kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di sampaing mempergiatkan program khas meningkatkan penyertaan masyarakat India, Cina dan Orang Asli dalam badan-badan keselamatan negara.

Peruntukan RM250 juta untuk lima tahun akan disediakan bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan kuota penempatan khas bagi masyarakat India dalam program Dermasiswa B40 TVET.

Sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan Sosioekonomi dan Hak Orang Asli akan diwujudkan serta memperkenalkan kerangka menyeluruh pembangunan sosioekonomi Orang Asli dan golongan minoriti.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga akan diperkasa dalam memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat itu dilaksana lebih cekap dan mampan.

Biasiswa bagi sektor profesional dan industri masa hadapan yang kurang penyertaan Orang Asli turut akan ditingkatkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram