Nahas melibatkan Tunku Putera Johor pada GT Australia FOTO FACEBOOK SULTAN IBRAHIM ISKANDAR

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa syukur anakanda baginda, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar tidak mengalami kecederaan selepas kereta dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, hari ini.

“Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

“Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok dan ia adalah penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima (Tunku Abdul Rahman) menunjukkan potensi serta persembahan yang baik. Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda.

Menurut hantaran itu, pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedes-Benz GT3 yang dipandu terbalik.

Orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat Tunku Abu Bakar berjaya keluar dari kereta dan menunjukkan isyarat ‘peace’ kepada penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

Berikutan insiden dan kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan, Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.

Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Broc Feeney pula akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid. – BERNAMA