Tengku Zafrul Abdul Aziz.

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini menegaskan kelulusan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 yang didakwa dibuat selepas Parlimen dibubarkan, dibuat mengikut peraturan sedia.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Syarikat itu juga didakwa telah mendapat kelulusan daripada Tengku Zafrul via surat bertarikh 7 Oktober iaitu hari pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

Dalam ciapan di twitter hari ini, Tengku Zafrul turut mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat bukti pelanggaran, serta mengemukakan bukti dan tidak menunggu kemenangan di pilihan raya umum untuk mengambil tindakan.

Sementara itu di Kuala Selangor Tengku Zafrul berkata satu pasukan petugas melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, kerajaan negeri, kerajaan tempatan serta Kementerian Alam Sekitar Dan Air akan ditubuh bagi mencari penyelesaian isu banjir di Kuala Selangor.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor berkata isu banjir di Kuala Selangor memerlukan satu pendekatan yang holistik agar ia dapat diatasi dengan berkesan.

Beliau berkata pada Bajet 2023 yang dibentangkannya bulan lepas, Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmennya bagi mengatasi isu banjir dengan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk projek tebatan banjir.

“Projek ini sekarang pada fasa penilaian bagi tujuan pelantikan kontraktor, bagaimanapun isu banjir ini juga melibatkan isu penyelenggaran sistem perparitan dan melalui satu kajian oleh badan bebas mendapati sebanyak 30 peratus isu ini berpunca daripada sistem longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah serta tidak diselenggara secara berjadual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas melawat pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, di sini hari ini.

Seramai 32 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS itu setakat pagi tadi. – BERNAMA