PRU-15: Esok hari penentuan, majoriti mudah atau kerajaan campuran?

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BERBAKI kurang 24 jam sebelum pintu pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi menandakan hari penentuan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Esok, lebih 20 juta pengundi bakal memilih kerajaan pilihan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Selepas mengharungi 14 hari tempoh berkempen, pukul 11.59 malam ini menjadi detik akhir bagi kesemua parti politik memberikan apa yang termampu supaya sokongan dapat diberikan.

Selain 222 kerusi Dewan Rakyat, PRU-15 kali ini juga buat pertama kali akan menyaksikan hanya tiga negeri mengadakan pilihan raya serentak bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Tiga negeri itu adalah Pahang melibatkan 42 kerusi DUN; 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi bagi Dewan Negeri Perak di samping satu kerusi bagi DUN Bugaya di Sabah.

Selasa lalu, sejumlah 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal.

Peratusan tinggi itu adalah daripada keseluruhan 224,828 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 117,472 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis dan pasangan.

Manifesto telah dilancarkan, ceramah berlangsung hampir setiap hari malah ada juga menggunakan pendekatan menyantuni rakyat.

Semua itu dilakukan semata-mata bagi memberi keyakinan supaya gabungan mereka dipilih ke Putrajaya – pusat pentadbiran negara.

Kini, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan pengundi untuk memilih gabungan parti politik mana sebagai kerajaan baharu.

Tempoh sepuluh jam dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung dan 7.30 pagi sehingga 5.30 petang bagi Sabah serta Sarawak akan menjadi saksi siapa bakal membentuk kerajaan.

Ramai penganalisis yang beranggapan bahawa tiada satu pun gabungan tidak kira Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau pun Pakatan Harapan (PH) akan melepasi majoriti mudah 112 kerusi.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Tempoh 14 hari berkempen tamat pada 11.59 malam ini

Angka ‘ajaib’ 112 itu menjadi idaman kesemua gabungan parti-parti politik utama, malah tidak kira PH, BN atau PN, kesemuanya semakin galak memainkan naratif bahawa gabungan mereka mampu mendapat jumlah majoriti membentuk kerajaan.

Jumlah majoriti mudah itu juga mungkin berkurangan kepada 111 kerusi, bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada untuk menangguhkan atau meneruskan pengundian di kerusi Parlimen Padang Serai.

Ia selepas calon PH bagi kerusi Parlimen itu, M. Karupaiya meninggal dunia, Rabu lalu.

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao.

Mengimbau kembali apa yang berlaku pada PRU-14, PH berjaya membentuk kerajaan dalam pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti mudah 113 kerusi.

Sejarah telah tercipta ketika itu apabila BN yang menguasai pentadbiran negara lebih 60 tahun tumbang buat kali pertama di peti undi.

BN hanya berjaya mengumpul 79 kerusi manakala Pas menang 18 kerusi diikuti Parti Warisan (8); Bebas (3) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan satu kerusi.

Kedudukan kerusi di Dewan Rakyat kemudiannya berubah apabila berlakunya Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020.

Tindakan 11 ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan membentuk blok bebas menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Bermula tarikh itu sehinggalah Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, tiga Perdana Menteri telah pun bersilih ganti.

Dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sehinggalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.

Justeru, esok tentunya menjadi detik penting sama ada kestabilan politik dalam negara mampu dicapai semula.

Sama ada menerusi majoriti mudah atau kerajaan campuran, semuanya akan terjawab oleh 945 calon yang merebut saingan di kerusi Parlimen.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

KESUMA komited realisasi aspirasi TVET 2.0 melalui dana RM50 juta

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) komited untuk merealisasikan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 menerusi peruntukan dana...

More Articles Like This