Datuk Seri Bung Moktar Radin GAMBAR: Abd Razak Aid

SETIAP pemimpin Barisan Nasional (BN) harus bertanggungjawab dengan keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya menuding jari mencari siapa yang salah, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Justeru, beliau berkata, gesaan MCA supaya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan adalah keterlaluan.

“Orang yang kalah perlu menerima kekalahan dan tidak perlu menyalahkan orang lain. Saya fikir MCA keterlaluan apabila meminta Presiden mengundur diri,” kata Bung Moktar ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, MCA seharusnya menghormati UMNO yang telah membantu parti komponen itu memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai di Johor.

Baca artikel berkaitan: MCA sahkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata MCA perlu mengambil tanggungjawab kerana kegagalan parti itu mendapatkan sokongan dan memenangi kawasan majoriti pengundi Cina pada PRU15.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata MCA percaya bahawa Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai pengerusi dan menggesa beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

Pada PRU15 Sabtu lepas, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi, kekalahan paling buruk dalam sejarah parti itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram