MCA mengesahkan telah menghantar surat bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan tindakan Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon kepada UtusanTV, hari ini.
Menurut Sin Woon, MCA tidak menyalahkan Ahmad Zahid berhubung kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, MCA dan dua parti komponen BN iaitu MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menghantar surat tersebut kerana Ahmad Zahid didakwa telah mengkhianati ketetapan Majlis Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam.
“Kita tidak menyalahkan beliau disebabkan kalah tetapi beliau telah mengkhianati keputusan mesyuarat supaya BN berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak menubuhkan kerajaan.
“Kita telah desak beliau untuk letak jawatan dan lihat perkembangan sebelum memanggil mesyuarat bagi mengusulkan perkara ini,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Surat Zahid bukan keputusan konsensus, MCA desak letak jawatan
Dalam surat yang tular di media sosial, tiga parti komponen itu iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mendakwa Ahmad Zahid mengkhianati keputusan Majlis Tertinggi BN yang bermesyuarat semalam supaya gabungan itu berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak menubuhkan kerajaan.
Surat tersebut yang dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bertarikh hari ini turut mempunyai cop terima Ibu Pejabat BN.
Menurut surat yang ditandatangani secara bersama tiga pemimpin komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, 10 akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah ditarik balik setelah keputusan Dewan Tertinggi BN dibuat.
Dalam surat tersebut, usaha mendesak Ahmad Zahid berundur juga telah diusulkan Vigneswaran dalam mesyuarat semalam.
Bagaimanapun, surat tersebut mendakwa perjalanan mesyuarat terganggu apabila Ahmad Zahid membenarkan ahli-ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

