Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Istana Negara. GAMBAR: Ihsan Jabatan Penerangan

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan menggalas amanah sebagai Perdana Menteri Ke-10 dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.

Janji itu disuarakannya menerusi ciapan dalam Twitter sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Perdana Menteri berkata, tugas berat itu juga akan dipikul berpandukan kehendak rakyat bersama pasukan kerajaan.

“Amanah akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.

“Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.

Terdahulu, Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tepat pukul 5.06 petang tadi.

Baca artikel berkaitan: 8,849 hari menunggu, kini peluang Anwar buktikan kemampuan reformasi

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Anwar, 75, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri baharu.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan berhubung pelantikan tersebut selepas memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Ia selaras dengan kuasa Seri Paduka yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram