Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau mempunyai surat akuan bersumpah (SD) daripada ahli Dewan Rakyat dan memperoleh sokongan majoriti sehingga membolehkannya dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, hal itu kerana beliau telah pun mempunyai jumlah sokongan daripada 115 ahli Dewan Rakyat berbanding Anwar.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, pihaknya juga telah menghantar SD tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 21 November lalu.

“Tarikh akhir untuk penyerahan semua dokumen ini ke Istana Negara  menerusi e-mel dan aplikasi WhatasApp adalah pada 21 November lalu.

“Susulan itu, PN telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung Pas, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) yang menyatakan kesetujuan untuk bersama dengan PN.

“Pada jam 10.30 pagi 22 Nov 2022, setiausaha agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Baca lagi: Pemimpin-pemimpin PN mula berkumpul di kediaman Muhyiddin

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pembuktian itu perlu dilakukan menerusi proses yang telah ditetapkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 22 November.

Jelas beliau, proses tersebut adalah dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak menyatakan tentang pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram