Tangkap layar rakaman memaparkan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di Jeddah.

Sekurang-kurangnya dua orang penduduk disahkan meninggal dunia selepas hujan lebat yang melanda Arab Saudi semalam.

Memetik laporan Arab News, keadaan cuaca tersebut turut mengakibatkan penerbangan ditangguhkan selain sekolah ditutup.

Sementara itu, kerajaan wilayah Mekah dalam kenyataan di Twitter menyeru semua penduduk untuk tidak keluar dari rumah melainkan jika perlu sahaja.

Difahamkan, jalan utama yang sering digunakan oleh jemaah untuk pergi ke Mekah turut ditutup semalam, lapor media tempatan, sebelum dibuka semula selepas hujan reda.

Malah, stesen penyiaran Al-Ekhbariya turut menyiarkan rakaman jemaah di Masjidil Haram, Mekah mengelilingi Kaabah dalam cuaca hujan lebat.

Sementara di Jeddah, tular rakaman air hujan memenuhi jalan raya dan menenggelamkan beberapa kenderaan.

Baca artikel berkaitan : Awie sambut ulang tahun ke-54 di Mekah – “Syukur dalam banyak-banyak tempat, kita ditemukan di…,

Jurucakap Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan beberapa penerbangan dan menggesa penumpang untuk menghubungi syarikat penerbangan bagi mendapatkan jadual terkini.

Dalam pada itu agensi berita Saudi Press turut melaporkan sekolah-sekolah di Jeddah juga akan ditutup berikutan hujan diramal berterusan sepanjang hari.

“Sekolah-sekolah di bandar berdekatan Rabigh dan Khulais juga ditutup bagi menjamin keselamatan pelajar,” kata SPA.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan, taburan hujan di Jeddah direkodkan sehingga 179 milimeter dalam tempoh enam jam dari pukul 8 pagi hingga 2 petang (waktu tempatan) semalam.

Ia melebihi jumlah hujan semasa banjir besar pada tahun 2009.

Selain itu, Perbandaran Mekah telah mengupah seramai 11,800 pekerja lapangan bersama mesin dan peralatan bagi bersiap siaga menghadapi musim hujan.

Pasukan petugas telah dikerahkan di seluruh Mekah dengan kira-kira 52 tangki air di mana setiap satu dengan kapasiti 194,000 gelen ( 734,369 liter) bagi mengalihkan air banjir.

Malah, sebanyak 146 mesin penggali dan 89 trak pelbagai guna turut digunakan bagi mengalihkan air banjir di jalan raya.

Bukan itu sahaja, terdapat pasukan di lapangan bagi membuang sisa yang terkumpul berikutan hujan lebat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram