SABTU lalu telah berlangsung Majlis Pembukaan IPSC Handgun World Shoot 2022 bertempat di Nong Nooch Pattaya International Convention & Exhibition Center, Thailand.
Majlis dirasmikan oleh Presiden International Practical Shooting Confederation (IPSC), Vitaly Kryuchin bersama Presiden Thailand Practical Shooting Association (THPSA), Winai Phattiyakul.
Turut hadir adalah Presiden International Range Officers Association (IROA), Dino Evangelinos dan direktor pertandingan Voravith Chavananand.

Majlis pembukaan berlangsung dengan perarakan masuk atlet-atlet menembak dari 75 buah negara termasuk Malaysia, selain 163 orang pegawai pertandingan.
Malaysia menghantar 16 orang atlet pada kejohanan kali ini yang berarak penuh bangga dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
Majlis turut diserikan dengan pertunjukan seni kebudayaan Thailand.
Kryuchin dalam ucapan perasmiannya menyatakan terima kasih di atas penglibatan kesemua atlet pada kejohanan ini.
Pada masa sama, Pengurus Pasukan Malaysia, Mohd Faiz Khusni Ahmad berkata, meskipun tiada sasaran tinggi diletakkan namun beliau berharap rakyat Malaysia tetap mendoakan kejayaan mereka.
“Berdiri di atas pentas utama bersama Presiden IPSC dan deligasi-deligasi dari negara lain menyaksikan atlet Malaysia berarak masuk membawa Jalur Gemilang adalah suatu perasaan bangga yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Seramai 13 orang atlet negara kita telah selesai beraksi di pra-pertandingan minggu lepas.

“Pada minggu ini bermula dari 27/11/202 (Ahad), tiga orang lagi atlet negara kita akan beraksi di pertandingan utama yang membawa cabaran dalam tiga kategori yang berbeza hingga 2/12/2022 nanti.
“Walaupun tidak diletakkan sasaran pingat, marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan atlet negara kita di kejohanan menembak IPSC dunia ini,” katanya ketika hubungi UtusanTV, hari ini.
Kejohanan IPSC Handgun World Shoot yang seterusnya akan berlangsung di Afrika Selatan pada tahun 2025.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

