Datin Seri Rosmah Mansor GAMBAR: Abd Razak Aid

HAKIM Mahkamah Tinggi hari ini mengingatkan pihak pembelaan untuk memberi keutamaan dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor, memandangkan kes itu telah mengambil masa lama sejak 2018.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata ia perlu diberi keutamaan oleh peguam yang mewakili Rosmah, 70, kerana kes tersebut belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa pada 4 Oktober 2018.

“Saya berpendapat mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan untuk kes ini, namun sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Datin Seri Rosmah untuk saya menarik diri daripada mendengar perbicaraan, kes akan didengar oleh hakim lain,” kata hakim itu.

Mohamed Zaini berkata demikian selepas peguam Revin Kumar yang mewakili Rosmah memaklumkan beliau perlu merujuk peguam bela utama Datuk Geethan Ram Vincent mengenai tarikh perbicaraan sesuai.

Baca artikel lain: Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 14 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes.

Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pada 1 September lepas, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram