RAFIDAH AZIZ

VETERAN politik, Tan Sri Rafidah Aziz mempertikaikan mengapa pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) di dalam Kabinet baharu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Selain membangkitkan isu TPM tersebut yang masih menanti keputusan perbicaraan kes berkaitan rasuah yang panjang, beliau juga mempertikatkan keperluan melantik empat senator yang mana tiga daripada mereka kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, mereka tidak seharusnya dipertimbangkan untuk dilantik dalam barisan kepemimpinan kerajaan kerana ia boleh menjejaskan Jemaah Menteri keseluruhannya.

“Kenapa perlu dilantik sebagai TPM? Tidak perlu. Ya, ada yang kata seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, tetapi jika orang itu akhirnya didapati bersalah, maka anda perlu menggantikan TPM dengan yang lain.

“Kenapa perlu ‘ditekan sangat’ untuk melantik sekarang? Kita sudah ada satu TPM di situ,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, merujuk dua TPM, iaitu Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadilah Yusof.

Ahmad Zahid sebelum ini berdepan 87 pertuduhan rasuah, namun dibebaskan 40 daripada tuduhan itu, September lalu.

Rafidah turut mempersoalkan kredibiliti mereka yang kalah pada PRU-15 tetapi dilantik menjadi menteri.

BERITA BERKAITAN Zahid yakin gandingan kabinet baharu mampu hasilkan kejayaan luar biasa

“Siapa yang kalah dalam PRU ditolak oleh pengundi dan sekarang, lantik semula orang itu sebagai senator untuk dijadikan menteri. Di mana kredibiliti apabila kalah diletakkan semula dalam kepemimpinan? Ada yang lain mungkin lebih sesuai untuk dilantik. Cemar susu sebelanga kerana dua titik nila,” katanya.

Mereka yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hari ini untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PH dan PKR tewas PRU-15 di Parlimen Kulim Bandar Baharu, Tengku Zafrul kalah di Kuala Selangor dan Zambry gagal merebut kerusi Parlimen Lumut. Mohd Nai’im pula Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang dilantik Menteri Agama.

Bagaimanapun, Rafidah tetap mengucapkan selamat maju jaya kepada Anwar dan barisan kepemimpinan dilantiknya sambil berharap mereka dapat memimpin negara dengan baik.

“Tahniah atas pembentukan Kabinet baharu anda. Ia pasti memberikan banyak tekanan dan bebanan untuk memastikan ‘tindakan mengimbangi’ untuk menghasilkan Kabinet yang boleh diterima dan boleh dipercayai,” katanya.

Melihat barisan lama dan muka baharu dalam Kabinet sebagai gabungan yang seimbang bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan, Rafidah turut menasihatkan mereka bekerja mendahulukan rakyat dan negara, berkhidmat tanpa ragu dan pilih kasih.

Beliau juga mengingatkan mereka mengelak mengutamakan kepentingan peribadi, menjadikan integriti dan kejujuran sebagai keutamaan, mengambil sikap bertanggungjawab dan mengutamakan akauntabiliti, prestasi, kredibiliti serta kompetensi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram