KERAJAAN memberi jaminan projek kapal tempur pesisir (LCS) akan tetap diteruskan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan diberi taklimat mengenai isu LCS oleh pihak yang berkenaan dalam masa terdekat.
“Saya akan mendapat taklimat isu LCS daripada pihak berkenaan agar benar-benar boleh melihat cara untuk maju ke hadapan dan memastikan kapal dapat dibina.
“Ini aset dan juga strategi negara, kita akan pastikan apa yang perlu dilakukan. Saya akan berusaha dengan kepemimpinan MINDEF dalam masa terdekat ini. LCS akan diteruskan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) hari ini.
Baca artikel lain: Kalendar akademik sesi persekolahan 2023/2024 bermula 19 Mac 2023
Media sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Laporan yang dikeluarkan pada 4 Ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.
Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun ini.
Beliau berkata, selepas fasa mobilisasi itu selesai, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap pembinaan.
Dalam pada itu ditanya mengenai isu kebajikan ATM, terutama elaun, veteran dan perumahan, Mohamad berkata, perkara itu juga akan diteliti dengan baik berdasarkan kemampuan kewangan negara.
“Dalam keadaan banyak orang kata akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun depan, kita akan beri keutamaan kepada mana yang ada dan kita susun atur sebaiknya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

