CHEF selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail meluahkan rasa kesal dan sedih dengan sikap adik-beradiknya kerap memberi alasan setiap kali diminta untuk meluangkan masa dengan ibunya.
Menurut Chef Wan,64, ibunya yang sering digelar sebagai Cik Ani merupakan pesakit kanser payudara dan dimentia.
“Saya ada beritahu kakak dan abang mengenai keadaan ibu dengan meminta mereka supaya meluangkan masa bersamannya.
“Seperti biasa, masing-masing mula menunding jari dengan mengatakan orang itu yang perlu dijaga dan ini.
“Macam-macam alasan diberi. Sampai satu tahap saya macam ‘suka hati kau oraang lah,” luahnya menerusi hantaran di Instagram.
Tambah Chef Wan lagi, adik-beradiknya itu hanya akan munculkan diri sewaktu majlis sambutan ulang tahun kelahiran ibunya sahaja.
“Bila ‘time’ emak punya parti hari jadi, berduyun-duyun sampai. Bila masa macam ni, baik emak bapa atau anak-anak mereka takkan kita nak pergi ‘sembah’ suruh datang menziarahi emak mereka?
“Ludah di langit memang akan timpa di muka sendiri, orang kata,” katanya.
Dalam pada itu, Chef Wan turut berkongsi keadaan terkini ibunya yang kini keadaan kesihatannya semakin merudum selain memerlukan penjagaan rapi.
Kata Chef Wan, bukan mudah untuk menguruskan orang tua berusia 90 tahun yang menghidap penyakit dimentia serta penyakit kronik lain.
“Ada satu hari tu, dia hanya pandang pinggan tanpa berbuat apa-apa. Ia disebabkan otaknya tidak lagi memberi signal untuk makan menggunakan sudu.
“Dia juga tidak tahu nak buat apa-apa termasuklah untuk mengikat kain sendiri. Semuanya perlu dilakukan orang lain,” jelasnya.

