PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari membuat laporan polis berkenaan pakatan antara pemimpin parti-parti pemerintah berkaitan Perjanjian Persefahaman Kerjasama (MoU) yang didakwa salah dari segi undang -undang dan memudaratkan demokrasi.
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perjanjian antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan itu memudaratkan kerana ia memerlukan Ahli Parlimen daripada parti terbabit wajib mengundi mengikut yang ketetapan oleh parti masing-masing supaya menyokong Perdana Menteri.
Lima gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan kelmarin telah menandatangani satu MoU kelmarin yang mana antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkaitan dengan usul percaya, perbekalan, atau sebarang usul yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan akan dikira sebagai meletak jawatan dan kerusi mereka akan dikosongkan.
“MoU itu merupakan satu pakatan menceroboh hak dan kebebasan Ahli Parlimen untuk mengundi secara adil dan bebas di Parlimen. Ia merupakan satu aktiviti memudaratkan demkorasi parlimen di bawah Seksyen 124b Akta 574 dan percubaan aktiviti memudaratkan demokrasi parlimen di bawah Seksyen 124c Akta 574.
“Ia juga merupakan kesalahan terhadap undang-udang Malaysia di bawah Seksyen 225b Akta 574 dengan membuat satu perjanjian yang kesan dan objektifnya adalah haram dan tidak sah, serta melanggar Seksyen 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 yang merosakkan dan mudaratkan demokrasi berparlimen serta bercanggah dengan polisi awam dan tidak dibenarkan disisi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, Pemuda PN melihat MoU tersebut merupakan satu tanda bahawa Perdana Menteri hari ini sendiri tidak yakin dengan kesetiaanAhli-ahli Parlimen sehingga memaksa membuat perjanjian yang jelas mengetepikan kebebasan mereka untuk mengundi berdasarkan pemiliran yang bebas.
“Kalau macam ini, tidak perlu Ahli Parlimen membuat undian dan cukup sekadar datang ke Dewan Rakyat dan mendaftar atau buat blok-blik mengundi. Tidak perlu membuang masa mengadakan sidang Dewan,” tambahnya.
Ahmad Fadhli berkata, sehubungan itu, Pemuda PN meminta pihak polis menyiasat mengenai laporan ioni dan jika terbukti ada pihak sama ada mereka yang merancang atau menandatangani perjanjian ini melanggar undang-undang negara, perlu diseret ke muka pengadilan.
“Ahli-ahli Parlimen pula diseru tidak harus membiarkan maruah diri mereka digadai oleh pemimpin parti masing-masing kerana keadaan ini seperti perdagangan manusia kerana maruah mereka telah digadaikan dengan harga yang sangat murah,” katanya.

