SERAMAI 100 orang sukarelawan menyertai Program Khidmat Bakti di bawah Program Community Heroes Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Muafakat Anak Muda Tampin membersihkan kawasan Zoo Melaka.
Program yang yang disertai sukarelawan yang terdiri daripada pelajar tajaan YBR serta pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini turut membabitkan pembersihan kandang dan pemberian makan kepada haiwan serta membaik pulih taman permainan.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani ketika mengulas usaha murni itu berkata, inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada golongan belia untuk membina ilmu baru, membangunkan jati diri serta membantu kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.
Katanya, penganjuran program seperti itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial YBR melalui perkembangan kemahiran yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan atau meningkatkan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.
“Program Community Heroes YBR ini adalah terbuka kepada setiap individu yang bersemangat untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan berkongsi dan menyumbangkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan tenaga sukarelawan.
“Program ini juga diharapkan dapat membantu menyebarkan pengetahuan am mengenai tingkah laku haiwan, cara pengendalian haiwan dengan betul dan juga dapat belajar menghargai kehidupan liar yang kian terancam,” katanya dalam satu kenyataan.
YBR pada masa sama percaya, usaha kelestarian itu dapat membantu mewujudkan ekosistem yang mampan untuk generasi akan datang, serta pada masa yang sama memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan golongan muda.
Sebagai satu daripada lokasi tumpuan ramai, Zoo Melaka menawarkan pengalaman yang menakjubkan kepada pengunjung yang mana ia menempatkan lebih 214 spesies haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia.
Malah pada tahun ini, YBR dinobatkan “Foundation Odf The Years’ dalam kategori Perbankan di CSR Malaysia Awards 2022, dan ia adalah anugerah kali kedua yang diterima yang sebelum ini dinobatkan pada tahun 2020.

